,

Manfaatkan Segenap Ruang Beramal

Apabila si miskin melihat si kaya, yang ia rasakan adalah “alangkah bertuahnya dia, banyak harta yang mampu ia sedekahkan”.

Apabila si kaya melihat si miskin, ia merasakan sesuatu yang berbeza, “alangkah bahagianya dia, tak banyak harta untuk dipersoalkan di hadapan Allah nanti”.

Setiap manusia mempunyai garis takdir yang berbeza dan memainkan peranan-peranan yang berbeza.

Bukan semua orang mampu menjadi guru, bukan semua orang harus menjadi CEO, bukan semua orang harus menjadi nelayan, petani dan sebagainya.

Bahkan bukan semua orang juga harus menjadi pemimpin negara. Demikian pula bukan semua orang kaya dan bukan semua orang miskin.

Dalam posisi apapun kita berada, ruang beramal itu ada. Kadang-kadang kita meratapi sesuatu posisi yang tidak kita miliki sehingga kita tidak menjalankan peranan di posisi kita secara optimum.

Bagi sebuah tubuh badan berfungsi, setiap sel harus menjalankan peranannya secara terbaik, walaupun ia bukan daripada organ utama tubuh seperti otak, jantung, paru-paru, buah pinggang.

Jika semua sel menjadi otak, maka tiadalah sesuatu yang kita panggil manusia, kerana yang ada cuma otak.

Demikian juga jika diibaratkan seluruh manusia di atas muka bumi ini sebagai sebuah tubuh, maka setiap individu mempunyai peranan yang penting untuk melakukan yang terbaik di posisinya, sekecil apapun ia rasakan peranannya.

Jika semuanya ingin memainkan hanya satu peranan, maka tiadalah apa yang disebut sebagai tamadun kemanusiaan.

Perkara yang paling penting adalah meletakkan asas amal itu di tempat yang betul, tidak lari daripada peranan Ibadah kepada Allah dan mentadbir bumi ini dengan baik mengikut perintah-Nya.

Ya, daripada seorang buruh binaan, sehinggalah seorang pemimpin negara, tidak ada satu perananpun yang tidak penting dan tidak dapat dijadikan ruang untuk beramal.

Kita beramal adalah untuk Allah, bukan kerana populariti dan bukan untuk disanjung manusia.

Maka, peranan buruh binaan yang ikhlas itu lebih berkualiti daripada peranan pemimpin yang zalim.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita mengabaikan peranan kita. Sebelum kita boleh mengambil posisi orang lain yang kita impikan, masa akan terus berlalu.

Sebelum seorang pelajar boleh meningkat menjadi seorang pensyarah, dekan, seterusnya ke pangkat-pangkat yang lebih besar, umurnya akan terus meningkat dan amalnya telahpun tercatat.

Maka, di posisi apapun kita sedang berada, optimumkan ruang itu untuk beramal. Tanya diri kita, apakah kita sudah mempersembahkan kepada Allah amal yang terbaik dengan posisi yang ada pada kita sekarang?

Jika kita sudah mendapat posisi lain yang kita impikan, apakah kita mampu untuk mempersembahkan amal yang terbaik?

Sebenarnya, ia bukan masalah di posisi mana kita berada, tetapi sikap kita. Memang berusaha untuk mencapai sesuatu posisi itu tidak salah dan sangat baik jika lebih besar ruang amal dapat kita terobosi, dan untuk kemaslahatan yang lebih penting.

Namun, jika sikap kita tidak berubah, kualiti amal kita tetap tidak akan meningkat sekalipun kita bertukar posisi.

Akhirnya, kita akan tetap merasa tidak berpuas hati dan inginkan posisi yang lain pula.

Kita selalu tertipu dengan angan-angan panjang yang dimainkan oleh syaitan, tunggu kaya untuk bersedekah, tunggu menjadi pemimpin untuk menyumbang kepada negara, tunggu menjadi ‘ulamak untuk berbakti kepada masyarakat, tunggu dan tunggu.

Kejar dan kejar. Hakikatnya, belum tentu kita akan sampai ke posisi tersebut ketika nyawa kita dicabut oleh Allah.

Ketika kita dipersoalkan akan apa yang kita usahakan di atas muka bumi ini, adakah kita akan menjawab, “Aku tidak dapat beramal kerana aku belum dapat menjadi sekian dan sekian…”?

Daripada kalangan kita adanya geologis, doktor, pensyarah, peguam, ahli politik, pelayan restoran, usahawan, jurutera dan macam-macam lagi posisi-posisi yang semuanya penting.

Manfaatkan segenap ruang hidup untuk beramal, Insya-Allah kita akan menjadi produktif di posisi manapun kita berada di atas muka bumi ini.

Mudah-mudahan Allah membangkitkan kita semua dalam keadaan Dia redha kepada kita, dan kitapun redha dengan apa yang dianugerahkan-Nya kepada kita, iaitu syurga.

Sungguh, di dunia ini tidak ada kepuasan yang abadi, yang ada hanyalah kesenangan yang menipu.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah At-Taubah: 105)

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zul Yunus. Beliau merupakan seorang pengacara dan trainer bertauliah. Bergiat aktif dalam menghasilkan video inspirasi melalui YouTube, Facebook dan Instagram beliau di samping penulisan yang membangunkan jiwa manusia yang seimbang. Ikuti perkembangan beliau melalui blog zulyunus.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.