,

Lafaz yang Mudah Pengakuan Hamba Allah

Tatkala kita masing-masing sedang bersemangat dengan azam tahun baharu, apa kata kita jadikan budaya menyebut nama Allah ini sebagai salah satu daripadanya. Mudah bukan?

Bukankah itu merupakan syiar kita sebagai seorang Muslim yang mengaku Tuhan kita ialah Allah?

Bercerita tentang Bismillah, suka untuk penulis kongsikan huraian menarik tentangnya oleh seorang ulama dan tokoh Muslim yang terkenal dengan magnum opusnya, Rasa’il Al- Nur. 

Beliau ialah Imam Badi’ al-Zaman Sa‘id Nursi. Huraian tentang bismillah ini terdapat pada bab Kalimah Pertama.

Bagaikan Sang Pengembara

Satu Perumpamaan Imam Sa‘id Nursi dalam karyanya itu sangat gemar menggunakan analogi yang dapat diterima oleh akal fikiran yang waras. Termasuklah jugalah huraian beliau tentang lafaz Bismillah.

Sebelum memberikan perumpamaan dan analogi, beliau akan memberikan suatu situasi terlebih dahulu. 

Tujuannya adalah untuk memberikan gambaran awal kepada murid beliau dan para pembaca. Kata beliau:

“Orang yang mengembara di padang pasir Arab perlu menggunakan nama ketua kabilah dan bernaung di bawah perlindungannya supaya dia terselamat daripada kejahatan para penjahat dan mampu mencapai hajatnya

Jika tidak, dia akan menderita menghadapi musuh dan keperluannya yang tiada batasan secara bersendirian.

Kemudian, barulah beliau memberikan analoginya. Kata beliau: Terdapat dua orang pengembara keluar menuju ke padang pasir. 

Seorang daripada mereka bersifat tawaduk, manakala seorang lagi bersifat sombong.

Pengembara yang tawaduk itu telah mengambil nama seorang ketua mereka, sedangkan si sombong itu tidak mengambilnya. 

Pengembara yang mengambilnya, dapat mengembara dengan selamat di semua tempat. 

Jikalau dia terserempak dengan sekumpulan perompak, dia akan berkata: “Aku mengembara dengan nama ketuaku iaitu si polan.

Maka perompak itu akan pergi dan tidak dapat mengganggunya. Sekiranya pengembara itu memasuki sesebuah khemah atas nama itu juga, dia akan dihormati. 

Manakala, pengembara yang seorang lagi itu menghadapi pelbagai bala yang amat dahsyat sepanjang perjalanannya sehingga tidak boleh digambarkan.

Dia sentiasa menggigil dan sering kali mengemis. Bukan sahaja dipandang rendah, malah dia turut menjadi hina.

Bila Perlu Sebut Nama Allah? 

Hal ini telah dikuatkan lagi dengan beberapa ayat al-Quran yang menyebut bahawa betapa perlunya kita menyebut nama-Nya dalam setiap perbuatan kita seharian. 

Antaranya, terdapat tiga ayat al-Quran yang jelas menunjukkan sesuatu perbuatan itu mestilah dilakukan dengan menyebut nama Allah.

1.Proses Menuntu Ilmu

Siapa tidak tahu tentang wahyu pertama yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. di Gua Hira’. 

Wahyu ini menjadi asas kepada perkembangan intelektual manusia yang berpaksikan ketuhanan Yang Maha Esa. 

Allah berfirman s.w.t: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (QS Al-‘Alaq 96: 1)

Sebab itulah jikalau kita membelek-belek karya ulama dan ilmuwan Muslim, mereka pasti akan memulakannya dengan bismillah. 

Bahkan dalam sesetengah karya, disyarahkan pula setiap huruf dan kalimah yang terkandung dalam lafaz tersebut.

2.Wirid dan Zikir

Dalam kehidupan seorang Muslim sehari-hari, kita diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya sentiasa membasahkan lidah dengan menyebut nama-nama-Nya yang mulia itu.

Jadikan zikir menyebut nama Allah sebagai amalan harian lidah kita dan tidak semestinya hanya perlu menunggu waktu selepas selesai mendirikan solat sahaja.

Allah s.w.t. berfirman: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (dalam dan luar sembahyang) pada waktu pagi dan petang.” (QS Al-Insan 76: 25)

3.Tatkala dalam Kelalaian

Bagitulah teguran Allah s.w.t. buat Nabi kita s.a.w. agar diambil perhatian oleh umatnya juga. 

Tatkala Baginda ditanya oleh orang kafir tentang roh, ashab al-kahf dan Zu al-Qarnain, Baginda bersabda: “Esok aku akan berikan jawapan terhadap soalan-soalan kamu itu.” 

Lalu Allah menegur Baginda agar menyandarkan setiap perbuatan yang ingin dilakukan itu dengan kehendak Allah s.w.t. 

Caranya adalah dengan menyebut insya-Allah. Kemudian, jika terlupa, sebutlah nama Allah juga.

Sebagaimana firman-Nya: “Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): ‘Insya-Allah. 

Dan ingat serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini."

Rujukan:

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Kahf 18: 24

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Insan 76: 25

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-‘Alaq 96: 1