,

Kita Adalah Penyampai Bukan Penghukum

Kehidupan sebagai seorang hamba Allah,pasti kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Kita percaya, ramai manusia pelaku maksiat di luar sana yang jauh di dalam hati mereka ingin bertaubat, ingin berubah menjadi lebih baik, cuma mereka tiada motivasi, tiada orang yang datang membantu mereka.

Saat mereka rasa mereka hampir lemas dengan dosa, tiada orang yang datang menghulurkan tangan.

Saat manusia-manusia soleh tanpa dosa yang nyata di sekeliling mereka, melabel mereka sebagai pendosa, ahli neraka, manusia yang dimurkai Allah, mereka rasa hilang harapan untuk hidup sebagai orang baik, rasa hilang harapan dan putus asa untuk meraih rahmat Allah, untuk masuk syurga Allah.

Kita yakin, setiap manusia tidak kira apa jua agama di dunia ini, tidak kira dia penjenayah, ahli maksiat ataupun pendosa, apabila ditanya inginkah kamu masuk syurga?

Sudah tentu mereka menjawab ya cuma mereka tidak mampu menterjemahkan keinginan mereka itu kepada perbuatan, cuma ramai antara mereka yang hilang harapan untuk berubah, tiada yang mendekati mereka menyampaikan kepada mereka betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah, melampaui kemurkaanNya.

Kita singkap kembali satu kisah yang masyhur yang berlaku pada zaman Nabi S.A.W, di mana sahabat Nabi, Maiz Bin Malik datang menemui Nabi kerana dia telah berzina dengan isteri orang.

Maiz menemui Nabi dan mengaku dia telah melakukan perbuatan yang keji, dia ingin Nabi supaya menjalankan hudud keatasnya (rejam sampai mati) dan menyucikannya. Namun Nabi menyuruhnya pulang dan bertaubat pada Allah tanpa bertanya lanjut tentang perbuatan keji yang dilakukannya itu.

Maiz tidak berpuas hati, dia benar-benar menyesal dan ingin bertaubat. Empat kali dia menemui Nabi dan jawapan Nabi tetap sama, pulang dan pohonlah taubat pada Allah.Di saat itu Nabi masih bersangka baik pada Maiz, Nabi cuba bertanya kepada Maiz, mungkin Maiz tidak sengaja, mungkin Maiz tidak waras ketika itu, mungkin juga Maiz tidak sampai berzina, mungkin Maiz cuma bersentuhan atau bercumbuan.

Akhirnya Nabi akur dan mengarahkan Maiz direjam dengan batu dan ketika direjam, Maiz melarikan diri kerana sakit namun dikejar sahabat dan direjam sehingga mati.

Apabila berita ini sampai kepada Nabi, Nabi berdukacita kerana bagi Baginda adalah lagi baik dibiarkan Maiz melarikan diri, semoga dia benar-benar bertaubat dan Nabi juga bersabda pada sahabat, adalah lagi baik untuk Maiz merahsiakan dosanya dan memohon taubat pada Allah, daripada dia mengadu pada Baginda.

Begitulah Nabi junjungan kita memberikan contoh ikutan yang terbaik.

Nabi mengajar manusia agar tidak menjadi penghukum kepada pendosa, Nabi sentiasa menyampaikan kepada manusia bahwa rahmat dan keampunan itu maha luas, tidak kira sebesar mana dosa yang kita lakukan.

Nabi cuba sedaya upaya untuk tidak menghukum Maiz dan memberinya ruang untuk mohon taubat pada Allah, Nabi masih bersangka baik pada Maiz meskipun Maiz sendiri yang mengaku akan dosanya.

Nabi tidak mahu ambil tahu tentang dosa Maiz kerana itu aibnya dan urusannya dengan Allah. Kita manusia tugas kita menyampaikan, dosa orang lain adalah antara dia dengan Allah. Bukan tugas kita untuk mengorek aib dan dosa orang lain.

Indahnya Islam. Islam bukan seperti Kristian, dimana pendosa boleh hapuskan dosanya pada paderi di gereja, buka aibnya kepada paderi itu dan kemudian paderi itu yang memberi hukuman dan keampunan semudah abc.

Ingatlah, Allah menciptakan Syurga dan Neraka kedua-duanya untuk pendosa.Syurga untuk pendosa yang sempat bertaubat, manakala neraka untuk pendosa yang enggan dan tidak sempat bertaubat.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%