,

Kisah Siti Fatimah Rindu Hendak Makan Buah Delima

Ka’ab bin Akhbar r.a. berkata:

Satu hari Siti Fatimah r.a. telah diserang penyakit, lalu Ali r.a. menghampiri Fatimah r.a. dan berkata:

Wahai Fatimah, katakanlah apakah yang kamu ingin makan, makanan dalam dunia ini.

Kemudian Siti Fatimah r.a. berkata:

Ya Ali, aku inginkan buah delima.

Lalu Ali r.a. berfikir sebentar, sebab Ali r.a. tidak ada apa-apa maka beliau pun pergi ke pasar dan mencari pinjaman wang sebanyak satu dirham untuk membeli sebiji buah delima.

Setelah mendapat wang satu dirham maka Ali r.a. pun membeli buah delima dan membawa pulang untuk memberikan kepada Fatimah r.a. 

Dalam perjalanan pulang Ali r.a. terpandang seorang lelaki yang sedang sakit di tepi jalan, lalu Ali r.a. berhenti dan bertanya:

Wahai orang tua apakah yang kamu hendak?

Maka berkata orang tua itu:

“Wahai Ali, sebenarnya aku telah berada dalam keadaan ini selama lima hari,

Tetapi tidak ada seorang pun yang mahu berjumpa dengan aku dan aku sangat-sangat hendak memakan buah delima.

Apabila Ali r.a. mendengar kata-kata orang tua itu maka Ali r.a. berkata dalam hati:

Aku hanya membeli sebiji sahaja buah delima untuk Fatimah, kalau aku bagi buah delima ini kepada orang ini, maka sudah tentu Fatimah tidak akan dapat apa-apa dan kalau aku tidak memberikan pada orang ini,

Ini bermakna aku telah menyalahi firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Adapun peminta-peminta itu, jangan engkau herdik (sakitkan hatinya).

Dan Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda yang bermaksud: Jangan kamu sekalian menolak orang yang meminta-minta meskipun dia di atas kuda.

Setelah Ali r.a. berfikir maka Ali r.a. mengambil keputusan dengan membelah buah delima itu menjadi 2.

Lalu diberikan sebelah kepada orang tua itu, maka sembuhlah orang tua itu dengan kehendak Allah S.W.T.

Dan ketika orang tua itu makan buah delima itu maka Siti Fatimah r.a. juga sembuh dari penyakitnya. 

Kemudian Ali r.a. pun kembali ke rumah dengan rasa malu, sebaik sahaja Fatimah r.a. melihat kedatangan Ali ra maka dia bangun dan merangkul badan suaminya dengan berkata:

Wahai Ali, kenapa kamu ini kelihatan susah hati, demi perkasaan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Sesungguhnya sewaktu kamu memberikan buah delima kepada orang tua tersebut, aku telah hilang keinginanku untuk makan buah delima.

Sebaik sahaja Ali r.a. mendengar kata-kata isterinya itu maka bergembiralah Ali r.a.

Dalam pada itu tiba-tiba pintu rumah diketuk orang, lalu Ali r.a. berkata:

Siapa itu.

Maka kedengaran orang yang mengetuk berkata:

Saya ini Salman Al-Farsi, bukalah pintu. 

Maka Ali r.a. pun membuka pintu, sebaik sahaja Ali r.a. membuka pintu maka dilihatnya Salman Al-Farisi sedang memegang sebuah talam yang ditutup dengan kain dan memberikan kepada Ali r.a. 

Ali r.a. bertanya:

Wahai Salman, siapakah yang memberikan ini?

Salman Al-Farsi berkata:

Ini adalah dari Allah kepada Rasul dan dari Rasul kepada kamu. 

Setelah mendengar penjelasan dari Salman r.a. maka Ali r.a pun membuka tudung talam tersebut dan di dalamnya terdapat 9 biji delima. Ali r.a. berkata:

Wahai Salman, kalaulah buah delima ini untuk saya ianya sepatutnya sepuluh biji, sebab Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

Man jaa-a bil hasanati, falahu’asyru amtsaalihaa yang bermaksud:

Sesiapa mengerjakan satu kebaikan, maka sesungguhnya baginya sepuluh kali balasan.

Sebaik sahaja Salman r.a. mendengar kata-kata Ali r.a. itu maka berkata Salman r.a. sambil tertawa:

Aku sebenarnya ingin menguji kamu.

Kemudian Salman r.a. pun mengeluarkan sebiji delima dari dalam bajunya dan memberikan kepada Ali r.a. (Raudhatul Muttaqina) 

Sesungguhnya tidak akan rugi apabila kita menyedekahkan sesuatu, sebab sesuatu yang kita sedekahkan itu Allah S.W.T. akan memberikan kita rezeki yang bertambah tanpa kita menyedari dari mana datangnya. 

 

Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.