Terdapat sebuah kisah indah tentang sahabat Nabi Muhammad S.A.W., Ibn Ummi Maktum r.a. beliau adalah salah seorang sahabat yang lahir dalam keadaan buta.
Di usia senjanya, beliau pernah meminta izin kepada Rasullullah S.A.W. agar beliau boleh solat sendirian di rumah. Solat lima waktu di rumah sendiri.
Ibn Ummi maktum mendatangi Rasullullah S.A.W. meminta rukhsah agar dia tidak harus hadir solat berjemaah di masjid Rasullullah S.A.W. untuk sama-sama menunaikan solat fardhu.
Kemudian, baginda pada awalnya mengizinkan Abdullah Ibn Ummi Maktum atau memberikan rukhsah terhadap hal tersebut.
Kemudian, Nabi kembali memanggil Abdullah Ibn Maktum.
هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ " . فَقَالَ نَعَمْ . قَالَ " فَأَجِبْ "
Wahai ibn Ummi Maktum, apakah kau mendengar suara azan, panggilan solat?
فَقَالَ نَعَمْ
Ibn Ummi Maktum menjawab: Ya Rasullullah saya dapat mendengarnya.
قَالَ " فَأَجِبْ "
Rasullullah: Aajib, kalau begitu engkau tetap harus untuk hadir di masjid. Solat berjemaah bersama kami.
Dalam riwayat Abu Daud, Riwayat hassan sahih, disebutkan bahawasanya Abdullah Ibn Maktum berkata kepada Rasullullah S.A.W :
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ ضَرِيرُ الْبَصَرِ شَاسِعُ الدَّارِ وَلِي قَائِدٌ لاَ يُلاَئِمُنِ فَهَلْ لِي رُخْصَةٌ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِ
Wahai Rasullullah, saya seorang buta, rumah saya jauh dari masjid, dan saya ada pembantu yang tidak mahu mengikuti saya. Bolehkah saya bersolat di rumah saya?
قَالَ " هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ"
Rasullullah: Apakah kau mendengar panggilan azan untuk solat?
قَالَ نَعَمْ
Abdullah: Ya.
قَالَ " لاَ أَجِدُ لَكَ رُخْصَةً "
Rasullullah: Saya tidak mendapati untukmu ada rukhsah. Engkau tetap harus hadir untuk berjemaah di masjid.
Dalam Riwayat Ahmad, disebutkan bahawasanya antara rumah Abdullah dan masjid Rasullullah terdapat batu-batuan dan pohon kurma.
Sementara kita tahu, Abdullah adalah sahabat yang buta.
Jadi, apakah ibrah yang boleh kita ambil dari kisah ini?
1. Para ulama’ mengatakan wajib bagi lelaki yang tidak memiliki uzur apabila dia mendengar azan, maka dia wajib untuk menghadiri solat berjemaah di masjid yang berdekatan dengannya.
2. Lihatlah bagaimana semangat seorang sahabat untuk mendapatkan pahala berjemaah.
Sebahagian ulama’ menjelaskan yang diminta oleh Abdullah adalah agar dia boleh mendapatkan pahala berjemaah di masjid Rasullullah bersama Rasullullah.
Namun,cukup baginya untuk melakukan solat di rumah. Rasullullah mengatakan tidak.
Pahala berjemaah di masjidku, bersamaku, hanya didapati oleh mereka yang datang berjemaah di masjidku bersamaku.
3. Kita bersyukur di bulan Ramadhan yang mulia, masjid-masjid Allah penuh dengan orang-orang yang melakukan solat tarawikh.
Kita sangat bersyukur namun yang lebih penting daripada itu adalah meramaikan rumah-rumah Allah dengan solat berjemaah lima waktu.
Sayang sekali, bilangan jemaah di setiap solat fardhu amatlah sedikit walhal itulah yang sangat ditekankan oleh nabi.
Rujukan:
Sahih Muslim 653, https://sunnah.com/muslim:653
Sunan Abi Dawud 552, https://sunnah.com/abudawud:552
Yufid. TV, Ceramah Singkat: Kisah Inspiratif Sahabat Yang Buta- Ustaz Johan Saputra Halim