Pada zaman Nabi Musa A.S, sering terjadi peperangan antara Baginda dengan orang kafir.
Di mana setiap kali terjadinya peperangan, mereka tidak pernah mendapat kemenangan hingga menyebabkan mereka risau di atas kekalahan yang menimpa bertalu-talu.
Sedangkan peralatan perang mereka serba cukup dan bala tenteranya serba terlatih.
Dalam pada itu, tersebut pula dalam satu riwayat bahawasanya,
Di negeri kaum kafir itu ada seorang yang abid iaitu orang yang banyak melakukan amal ibadah bernama Bal’am bin Ba’aura’ yang terkenal dengan doanya yang mustajab.
Oleh kerana peperangan yang sering terjadi menatijahkan kekalahan di pihak orang kafir, maka pada suatu hari pimpinan orang kafir mengutus askarnya kepada si abid itu.
Dengan tujuan agar dia sudi mendoakan orang orang kafir supaya mendapat kemenangan dalam peperangan melawan Nabi Musa.
Namun usaha tersebut gagal sebab si abid menyedari bahawa Nabi Musa adalah seagama dengannya. Maka kembalilah askar yang diutus tadi dengan hampa.
Sepulangnya para utusan dari sana, merekapun mengadap raja untuk menyampaikan maklumat hasil daripada kepergian mereka itu.
Salah seorang daripada mereka berkata,
Tuanku, sesungguhnya kami telah menunaikan titah tuanku untuk bertemu dengan abid itu tetapi malangnya kami tidak berhasil untuk memujuknya supaya dia mahu mendoakan kita.
Apabila raja mendengar berita itu, baginda merasa sangat murka tetapi dia tetap menunjukkan sikap tenang seraya berkata pada kaumnya,
Wahai kaumku sekelian, sesungguhnya kita telah banyak sekali mengadakan peperangan dengan Musa namun tidak pernah mendapat kemenangan.
Satu-satunya cara adalah kita sangat memerlukan bantuan seorang abid yang bernama Bal’am bin Ba’aura’.
Sebelum ini, kita telah utus beberapa orang namun tetap tidak berhasil untuk mendapatkan bantuannya.
Kita mesti cari jalan serta mengadakan rancangan supaya abid tersebut mahu mendoakan kita sebab dia memang dikenali dengan doa mustajabnya.
Hanya itulah satu-satunya cara agar kita dapat mengalahkan Musa dan para pengikutnya.
Mereka pun mengadakan suatu mesyuarat dan akhirnya baginda raja membuat suatu keputusan, seraya berkata pada kaumnya,
Wahai kaumku sekalian, sekarang beta sudah mendapat suatu keputusan iaitu kita akan utus kembali beberapa orang untuk bertemu dengan abid yang bernama Bal’am bin Ba’aura’ itu.
Pada kali ini, kita akan bawa sesuatu yang berharga seperti emas, perak dan lainnya untuk dipersembahkan kepadanya. Beta yakin dia pasti akan menerimanya dan dia akan berpihak pada kita.
Inilah hasil daripada mesyuarat mereka dan mereka yakin bahawa rancangan mereka akan berhasil sebab menurut kepercayaan orang kafir, segala masalah dapat diselesaikan dengan adanya harta.
Lebih-lebih lagi apabila mereka lihat bahawa para abid kelihatan begitu miskin dan sangat memerlukan harta.
Maka, tanpa membuang masa, diutuslah beberapa orang untuk menemui abid yang masyhur itu.
Setelah mereka sampai di hadapan rumahnya, seorang dari mereka mengetuk pintu. Pintu pun dibuka lalu Bal’am mempersilakan mereka masuk. Dengan menundukkan kepala sebagai tanda hormat, merekapun masuk.
Balam bertanya,
Apakah hajat tuan-tuan sekelian datang ke rumah hamba?
Jawab para utusan,
Wahai abid yang mulia, sesungguhnya baginda raja telah mengutus kami untuk mengadap tuan buat kali kedua dan pada kali ini raja memberikan hadiah berupa barang-barang yang berharga untuk diserahkan pada tuan.
Asal sahaja tuan yang mulia berkenan untuk mendoakan kami supaya menang dalam peperangan melawan Musa dan para pengikutnya.
Dengan lemah lembut Bal’am berkata,
Tuan-tuan sekelian, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian tuan-tuan datang ke rumah saya, juga sampaikan ucapan terima kasih saya pada baginda raja yang telah sudi mengutuskan barang-barang yang berharga ini.
Betapa gembiranya para utusan mendengar ucapan si abid.
Di luar dugaan mereka, si abid itu menyambung pula dengan katanya,
Tetapi perlu tuan-tuan sekalian ingat, sesungguhnya saya beriman dengan Nabi Musa dan saya juga beriman dengan agama yang dibawanya. Oleh kerana itu, saya sekali-kali tidak sanggup untuk mendoakan supaya Nabi Musa dan para pengikutnya kalah dalam peperangan.
Sekiranya saya mahu mendoakan tuan-tuan bermakna saya derhaka terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Sekarang silalah tuan-tuan kembali mengadap baginda raja dan bawalah kembali barang-barang yang berharga ini kerana saya tidak layak untuk memilikinya serta katakan padanya bahawa saya tidak rela untuk mendoakan Nabi Musa dan para pengikutnya kalah dalam peperangan.
Dengan rasa dukacita, para utusanpun kembali dengan hampa buat kali kedua.
Setelah mereka sampai di istana raja, mereka langsung datang mengadap dan menyampaikan masalah kegagalan mereka untuk mempengaruhi si abid.
Apabila raja mendengar hal ini, baginda sangat kecewa dan marah tetapi baginda tetap bersabar sambil mencari jalan bagaimana cara yang tepat untuk melaksanakan kehendaknya.
Baginda lalu mengumpulkan seluruh kakitangan kerajaannya dan bermesyuarat sekali lagi. Setelah dilakukan perbincangan, akhirnya mereka mendapat satu kesimpulan.
Baginda raja bertitah,
Wahai rakyatku sekalian, pujukan demi pujukan sudahpun kita lakukan namun belum juga berhasil. Baiklah, kita cuba ambil tindakan yang terakhir kali dan jika kali ini juga tidak berhasil, maka sebaiknya kita bunuh sahaja si abid tersebut.
Titah baginda raja selanjutnya,
Baiklah, pada kali ini kita akan gunakan cara lain iaitu beta akan kahwinkan puteri beta dengan Bal’am bin Ba’aura’; biarlah untuk sementara waktu, puteri beta memeluk agamanya.
Akhirnya pada kali ini baginda raja sendiri pergi untuk menemui abid diiringi oleh puteri dan pengawal-pengawal baginda.
Setelah sampai di hadapan rumah Bal’am bin Ba’aura’, raja lalu memerintahkan supaya tu diketuk.
Mendengar ketukan tersebut, Bal’am membukakan pintu dan mendapati baginda raja sendiri datang untuk menemuinya.
Balam mempersilakan baginda dan rombongannya masuk.
Kemudian dengan lemah lembut, dia berkata,
Apakah gerangan hajat tuanku sehingga sudi datang ke rumah patik?
Jawab baginda,
Wahai abid, sesungguhnya sudah berulang kali kami utus beberapa orang untuk meminta bantuanmu tetapi mereka kembali dengan hampa.
Memandangkan keadaan yang demikian itulah, beta sendiri datang menemui kamu dan beta tidak membawa sebarang hadiah kecuali seorang puteriku untuk dikahwinkan dengan kamu. Biarlah puteriku memeluk agama yang kamu anuti.
Setelah mendengarkan kata-kata raja, Bal’am berfikir bahawa walaupun sebenarnya dia menyedari ucapan raja merupakan satu helah, namun dia tidak mampu untuk menolak hajat baginda.
Maka dengan hati yang berat, beliau terpaksa menerima tawaran baginda kerana menyedari bahawa sekiranya dia menolak bererti dia akan menerima hukuman yang berat daripada baginda.
Maka dilangsungkan perkahwinan antara Bal’am dengan puteri raja dan hiduplah mereka sebagai suami isteri yang sah.
Setelah sekian lama masa berlalu, timbullah rasa kasih di dalam hati Bal’am terhadap isterinya.
Pada ketika itulah isterinya mengambil kesempatan untuk memujuknya supaya dia mahu mendoakan ayahnya dan rakyat baginda supaya menang dalam peperangan melawan Nabi Musa dan para pengikutnya.
Pada rayuan yang pertama, Bal’am masih tetap dengan pendiriannya dan tidak mahu memperkenankan hajat isterinya. Demikian juga pada kali kedua, dia masih enggan memenuhi kehendak isterinya.
Pada kali ketiga, dengan nada mengharap, puteri itu berkata dalam rayuannya,
Wahai suamiku yang sangat kukasihi, sesungguhnya kita telah lama hidup bersama dan kini telah timbul perasaan cinta yang mendalam terhadapmu.
Tetapi adinda sangat meragukan adakah kekanda mempunyai perasaan yang sama terhadap diri adinda.
Apabila mendengar ucapan isterinya yang demikian, timbullah rasa hiba dalam hatinya. Dia lalu memujuk isterinya dengan katanya,
Wahai isteriku, ketahuilah adinda betapa kasihnya kanda terhadap dirimu dan kanda tidak ingin berpisah denganmu.
Tuan puteri berpura-pura sedih sambil berkata selanjutnya,
Adinda juga tidak ingin berpisah dengan kekanda kerana adinda sangat menyayangi kekanda tetapi adinda juga sangat menyayangi kedua orang tua adinda.
Maka perpisahan di antara kita akan terjadi sekiranya kekanda tidak mahu menolong ayahanda dan rakyatnya untuk mendoakan supaya mereka menang dalam peperangan melawan Musa dan pengikut-pengikutnya.
Demi mendengar kata-kata isteri yang sangat dikasihinya itu, maka Bal’am bin Ba’aura’ merasa amat sayu dan bimbang akan kehilangan isterinya dengan sebab perpisahan, lalu diapun berkata,
Wahai isteriku yang sangat aku kasihi, demi cintaku padamu, kanda berjanji untuk tolong mendoakan bagi pihak ayahanda dan rakyatnya.
Akhirnya Bal’am bin Ba’aura’ mendoakan supaya Nabi Musa dan para pengikutnya tidak dapat memasuki negeri orang-orang kafir.
Allah memperkenankan doanya sehingga mengakibatkan Nabi Musa dan para pengikutnya tersesat pada suatu tempat.
Dalam riwayat menyebutkan bahawa Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya tersesat selama empat puluh tahun.
Mereka setiap hari berusaha untuk mencari jalan keluar dari tempat tersebut sehingga hari menjelang senja, lalu mereka berehat dan pada keesokan harinya mereka meneruskan perjalanan tetapi tidak menemui jalan keluar.
Malah mereka bertemu dengan jalan yang telah dilalui setiap mereka berjalan.
Mereka cuba menghala ke jalan sebelah kanan tetapi kembali pada tempat yang tadi; demikian juga apabila mereka mengikuti jalan di sebelah kiri, mereka berbalik ke tempat asal.
Keadaan ini berlangsung selama empat puluh tahun sehingga mereka kehabisan bahan makanan dan pengikut Nabi Musapun sudah merasa jemu mengikuti pimpinannya dan banyak pula di antara mereka yang hampir murtad.
Apabila Nabi Musa mendapati pengikut pengikutnya akan berubah pendirian, maka dia bermunajat kepada Allah dan mengadukan nasibnya kepada-Nya seraya berdoa,
Ya Allah, sesungguhnya hanya Engkaulah yang memiliki langit dan bumi dan segala makhluk-makhluk yang ada di dalamnya dan segala sesuatu yang berlaku adalah di atas kehendak-Mu.
Tanpa Engkau kehendaki maka segala sesuatu tidak akan berlaku dan aku merasakan bahawa ada daripada hamba-Mu bermohon kepada-Mu supaya kami tersesat.
Oleh itu, hamba memohon kemurahan-Mu, selamatkanlah kami daripada kesesatan kami dan tunjukkanlah pada kami jalan keluar supaya kami dapat mengembangkan perintah-Mu serta kembalikanlah kesesatan kami pada hamba-Mu yang bermohon kepada-Mu, sesungguhnya hanya Engkaulah Yang Maha Kuasa.
Dengan kesabaran Nabi Musa dan para pengikutnya menghadapi ujian Allah, maka Allah SWT memperkenankan permohonan Baginda dan akhirnya mereka selamat dan keluar dari tempat tersebut.
Manakala doa buruk Bal’am bin Ba’aura’ dikembalikan Allah ke atas dirinya sendiri sehinggakan dia mati dalam kesesatan.
Na’uzubillah min zalik.
Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.