,

Kesenian Dari Kaca Mata Islam

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah.

Islam adalah agama yang nyata dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia.

Dalam jiwa, perasaan, nurani dan keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni.

Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam.

Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt.

Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 190 yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah SWT lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya.

Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan.

Allah SWT bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan.

Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia.

Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak.

Ertinya seni mestilah bersifat menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah.

Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir iaitu keredhaan Allah dan ketaqwaan.

Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.

Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia.

Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia.

Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula.

Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah SWT.

Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab.

Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah SWT.

Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak.

Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah SWT.

Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal.

Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%