Alhamdulillah, akhirnya roda pemerintahan kerajaan Malaysia dapat berjalan seperti biasa apabila isu pembentukan kerajaan, perlantikan perdana menteri dan barisan kabinet selesai dilaksanakan dengan baik.
Walaupun terdapat pelbagai persepsi diberikan kepada kerajaan yang baharu ini, terpulanglah kerana kita tidak tahu sejauh mana prestasinya lagi.
Ya, sememangnya sebarang pergolakan di peringkat kerajaan memberi kesan yang besar kepada kehidupan rakyat.
Berpunca daripada kehilangan kepercayaan kepada para pemimpin yang dipilih oleh rakyat sebelum ini sehingga menyebabkan perdana menteri meletakkan jawatan.
Kita juga dapat melihat dengan jelas betapa Yang di-Pertuan Agong begitu memainkan peranan yang besar dalam menyelesaikan kemelut ini.
Melalui kebijaksanaan baginda, tampuk kepimpinan negara yang baharu dipilih.
Namun, mereka yang tidak menghormati perlembagaan negara pula sewenang-wenangnya memberikan gambaran yang buruk kepada baginda dan institusi beraja kita.
Jadi, marilah kita menyingkap hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa ini. Sebagai seorang rakyat biasa, saya teringat sebuah kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti dalam kitabnya, Tarikh al-Khulafa’.
Ya, kisahnya kena dengan situasi yang kita hadapi hari ini.
Nasihat Rakan Sepengajian
Ibn An’um al-Ifriqi bercerita dahulu dia merupakan rakan sepengajian dengan Abu Ja‘’far al-Mansur sebelum Abu Ja‘far menjadi khalifah.
Suatu ketika al-Mansur menjemput Ibn An’um ke rumahnya dihidangkan suatu hidangan yang tidak memiliki daging padanya.
Kemudian al-Mansur bertanya kepada pembantunya: “Wahai pembantuku, kamu ada sebarang manisan?’”
Pembantunya menjawab: “Tidak”
Dia berkata lagi: Walaupun buah tamar?
Pembantunya itu tetap menjawab: Tidak.
Ibn An’um menyambung ceritanya setelah menjadi khalifah, al-Mansur menjemputnya menghadap.
Kemudian, al-Mansur bertanya: Apakah pendapatmu tentang pemerintahan aku jika dibandingkan dengan Bani Umaiyyah?
Ibn An’um menjawab: “Aku tidak melihat dalam pemerintahan mereka sebarang bentuk kezaliman melainkan semuanya itu aku dapat lihat dalam pemerintahanmu.”
“Al-Mansur bertanya: “Tidakkah aku memiliki ramai pembantu untuk membantuku?’’
Ibn An’um: “Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: ‘Sesungguhnya kekuasaan itu diumpamakan sebagai sebuah pasar'.
Apa-apa sahaja yang boleh dijual akan diletakkan di sana.
Seandainya ia baik, ia akan datang bersama dengan kebaikanSekiranya ia jahat,akan datang bersamanya kejahatan.
Maka, benarlah seperti yang dikatakan oleh Fudail bin ‘Iyyad: “Seandainya aku memiliki satu doa yang mustajab, aku tidak akan berdoa melainkan untuk memimpin kerana apabila baiknya pemimpin, maka baiklah negeri dan rakyatnya.”
Pilihlah Baik-baik
Ya, benarlah sebagaimana yang dikatakan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz itu. Semuanya dapat dilihat dengan jelas sekali hari ini.
Bukan hanya dalam soal pemerintahan, bahkan juga dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.
Contoh yang paling mudah, dalam soal perkahwinan. Bukankah Islam sendiri menyuruh agar mencari pasangan hidup yang baik?
Bukankah Nabi s.a.w. sendiri sudah berikan panduan?
“Perempuan dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.
Maka peganglah dengan yang mempunyai agama engkau akan bahagia.” (Riwayat al-Bukhari)
Kepada para wali pula, Baginda berpesan: “Jika datang kepada kalian sesiapa yang kalian redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia.
Jika kalian tidak melakukannya, maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Ya, dalam rumah tangga, suami bagaikan perdana menterinya, manakala sang isteri pula sebagai timbalannya.
Bezanya, perdana menteri dan timbalan turut menggalas pelbagai tanggungjawab lain kementeriannya seperti kewangan, kebajikan, pendidikan dan sebagainya.
Jikalau perkara yang paling hampir dengan kita pun sudah ditekankan agar memilih yang baik-baik dan yang sesuai, inikan pula memilih mereka yang mentadbir negara?
Apabila Amanah Disia-siakan
Dunia hari ini tidak lagi berpaksi kepada yang benar itu benar kerana boleh jadi yang salah itu juga benar.
Misalnya, kredibitili dan keupayaan seseorang tidak lagi menjadi kayu ukur untuk dipilih menjadi pemimpin atau menggalaskan tanggungjawab tertentu
Hasilnya, apabila suatu amanah dan tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik, ia akan menyebabkan rakyat yang menanggung kesannya.
Bukankah Allah sudah mengingatkan: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (QS Al-Nisa' 4:58)
Bukan itu sahaja, ketika memberi amaran tentang tanda-tandaharikiamat, Baginda s.a.w. bersabda: “Apabila amanah dibuang, maka tunggulahharikiamat.”
Seorang sahabat bertanya: “Bagaimana ia dibuang wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Apabila sesuatu perkara itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Maka ketika itu tunggulah hari kiamat datang.(Riwayat al-Bukhari)
Justeru, sejarah bagaikan sebuah mesin masa. Belajarlah daripada kesilapan yang dilakukan oleh generasi terdahulu agar kesilapan yang sama tidak berulang kembali.
Dengan dunia hari ini yang begitu mencabar, jelaslah bahawa kekuasaan dan pemerintahan itu bagaikan sebuah pasar yang menjual pelbagai barangan.
Namun, terpulang kepada kita untuk memilih dengan baik sebelum membeli apa-apa barangan di situ.
Andai tersalah membuat pilihan dalam memilih pemimpin, kita sendiri yang akan menanggung akibatnya.
Rujukan:
Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Nisa: 58