, ,

Kepentingan Al-Iqrar (Pengakuan) Dan Al-Yamin (Sumpah) Dalam Undang-undang Keterangan Islam

Al-iqrar dari segi bahasa ialah menstabilkan, ia merujuk kepada pengakuan atau penafian mengenai keterlibatan dalam sesuatu kes.

Al-Iqrar sangat penting kerana terdapat hak yang sukar dibuktikan melainkan dengan cara pengakuan, contohnya kes bunuh yang menggunakan ilmu hitam.

Dalam hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud, diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan menyatakan bahawa dia telah berzina dengan seorang perempuan.

Lalu, Baginda menghantar utusan kepada perempuan tersebut lalu bertanya kepadanya tentang perkara yang diikrarkan oleh lelaki tersebut. Namun, perempuan itu menafikannya, maka Baginda tidak mengenakan hukuman kepada perempuan yang didakwa melakukan zina bersamanya.

Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal berpandangan bahawa iqrar bagi orang yang mengaku zina perlu dibuat sebanyak empat kali, iaitu qiyas kepada bilangan saksi yang ditetapkan dalam kes zina. Namun, Imam Malik dan Imam Syafii pula berpandangan cukup sekadar sekali iqrar sahaja.

Al-yamin dari segi bahasa ialah kanan, ia merujuk kepada sumpah memandangkan orang yang bersumpah akan menggunakan tangan kanan.

Orang yang bersumpah akan menggunakan nama Allah sebagai bukti kesungguhan dan tidak berbohong.

Antara syarat sumpah ialah:

(a) Tidak dipaksa dan dalam keadaan sedar

(b) Wajib bagi orang yang didakwa tetapi menafikan tuduhan

(c) Sumpah dibuat atas nama Allah

(d) Sumpah dilakukan sendiri, bukan diwakilkan kepada orang lain

Sumpah diterima sebagai salah satu cara pembuktian, malah ia juga terbahagi kepada empat hukum, iaitu:

(a) Wajib : sumpah untuk menjaga keselamatan manusia

(b) Harus : sumpah untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara yang harus

(c) Makruh : sumpah untuk melakukan perkara makruh atau meninggalkan perkara sunah

(d) Haram : sumpah yang dusta atau sumpah untuk melakukan perkara haram

Wallahu’alam.