,

Kenapa Aku Suka Mengeluh?

Aku sentiasa pelik dengan perjalanan hidup aku. Kenapa?

Kadang-kadang aku rasa aku selalu dapat apa yang aku tidak suka dan ini menyebabkan aku sentiasa mengeluh.

Aku pun tertanya diriku, “Kenapa aku suka mengeluh? Kenapa aku tidak fikir bahawa setiap takdir yang berlaku dalam hidupku ini sebenarnya ada 1001 hikmah yang masih Allah rahsiakan daripadaku?”

Ayat ini menyapa ruang fikiranku,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al- Baqarah 2:216)

Kadang-kadang, aku rasa zon dalam hidupku ini sentiasa berubah-ubah. Maksud aku, dalam hidup kita ni sebenarnya ada zon gembira, zon sedih, zon kecewa dan zon derita.

Contohnya, hari ini kita boleh bergelak tawa dengan orang yang kita sayang, keesokan harinya orang yang kita sayang itu pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya.

Kita pun dalam zon sedih kerana terasa beratnya ujian yang menimpa hidup ini.

Begitu juga apabila kita gagal dalam peperiksaan. Kotak memori memecahkan ingatan itu kembali berlegar-legar di ruang fikiranku,

“Kenapa aku diuji begini?”

Aku mengeluh lagi. Aku lupa ujian yang menghimpit jiwa ini sebenarnya ada hikmahnya. Aku harus bersabar dengan setiap ujian yang melanda.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al- Baqarah 2:286)

Kadang-kadang aku tidak dapat bersabar apabila terpaksa berhadapan dengan situasi begini. Tertanya lagi diriku,

“Kenapa mesti situasi seperti ini berlaku dalam hidupku? Tak ada orang lain ke?”

Aku lupa lagi ayat DIA untukku.

“Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang-orang yang kafir.” (Surah Yusuf: ayat 87)

Wahai sel-sel yang melingkari ruang di otakku, silalah bergabung dengan ion-ion cas positif supaya diriku boleh positifkan diri supaya aku tahu dan mengerti yang aku boleh menghadapi semua dugaan ini. Ingatlah ayat ini!

“Sesungguhnya setiap kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah Al Insyirah: ayat 5-6)

Makanya, aku sepatutnya bersyukur dengan takdir ketentuan Ilahi terhadap diriku. Terima takdir dengan redha.

Jangan pernah lelah dalam meneruskan perjuangan mencari bekalan akhirat nanti kerana syurga DIA bukan percuma!

Senyumlah duhai hati untuk takdir DIA, mungkin ada takdir indah bakal terpotret di sebalik ujian hidup yang terjadi.

“Put your trust to Allah, everything will fine…”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.