,

Kenali Islam Liberal

Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam.

Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya.

Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran jahiliyah baru moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai muslim hari ini khususnya yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat.

Pemikiran ini berasal dari ideologi Sekular-Liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke dalam masyarakat umat Islam oleh gerakan Misionari Kritian dan Orientalis melalui penjajahan dan melalui pendidikan terhadap anak-anak orang Islam yang belajar di Barat.

Melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulamak Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.

Pada hakikatnya pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut-penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini.

Natijahnya umat Islam akan bersikap anti-Islam dan memusuhi ulamak-ulamaknya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian.

Aliran liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah.

Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian.

Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu.

Gerakan liberalisme dari sudut agama dipelopori oleh Martin Luther, seorang tokoh Protestan disebabkan oleh penindasan dan keganasan gereja Katholik sebelum zaman Renaissance.

Gerakan ini membebaskan penganut agama Kristian daripada kuasa gereja dari segi rohaniah ke atas individu dan membentuk mazhab baru bernama Protestan.

Antara prinsip penting bagi mazhab Protestan ialah; “Menjadi hak individu Kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi”.

Idea Liberalisme ini terus berkembang di Barat bersama dengan kemajuan sains dan pemodenan dalam pembangunan industri.

Manusia bukan sahaja disogok dengan idea “keraguan” tentang Tuhan dan ajaran-ajaran agama tetapi juga menjadikan mereka bersikap materialistik dengan menjadikannya sebagai matlamat dari segala kehidupan.

Fahaman ini berkeyakinan bahawa manusia dan akal fikirannya boleh menyelesaikan berbagai aspek yang berkaitan dengan kemanusiaan tanpa perlu merujuk kepada agama atau tuhan.

Kalau manusia itu dalam kes-kes tertentu perlu kepada agama maka ia hanya bersifat keperluan individu semata-mata terutama dalam keadaan manusia yang tidak menentu emosi dan pemikiran serta perasaannya kerana ditimpa kemalangan, bencana alam dan sebagainya.

Maka peranan agama dalam konteks ini tidak lebih dari sekadar menstabilkan emosi yang tidak tenteram.

Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu, dari cengkaman agama dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal.

Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam.

Bagi pendokong fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai.

Sepertimana muktazilah, golongan Islam Liberal meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu.

Kerana itu mereka layak digelar muktazilah moden atau neo-muktazilah. Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional.

Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah tidak pasti. Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional.

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh.

Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama –termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulamak- termasuklah tafsiran dari Rasulullah s.a.w., para sahabat dan ulamak-ulamak mujtahid.

Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat’ie (putus).

Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam.

Kerana itu, tokoh-tokoh Islam Liberal amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah. Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal di Indonesia dan di Malaysia.

Sama ada mereka mengakui atau tidak, golongan Islam Liberal di mana-mana negara umat Islam hari ini mereka sememangnya telah dipengaruhi oleh cara berfikir orientalis.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%