Ketika hijrah beberapa orang sahabat ke Habasyah, antara peristiwa penting yang berlaku di Makkah ialah pengislaman Hamzah bin Abdul Muttalib iaitu pak cik kepada Rasulullah.
Seperti yang diketahui umum, Hamzah ialah kaum muda Quraisy yang sangat disegani, malah disebabkan dia masuk Islam, kaum Quraisy beransur-ansur hentikan beberapa kekerasan yang sebelum itu mereka biasa lakukan, mereka sedar bahawa Rasulullah semakin dapat sokongan dan perlindungan.
Setelah Hamzah, seorang lagi sahabat masuk Islam iaitu Umar bin Khattab, seorang yang sangat keras dan ditakuti, sehinggakan para sahabat yang lain berasa lebih kuat daripada kaum kafir Quraisy disebabkan pengislaman kedua orang tokoh ini.
Perkara ini menjadi suatu kemuliaan bagi kaum muslimin, dalam masa yang sama memberi tekanan kepada kaum musyrikin. Buktinya? Para sahabat sudah semakin giat menjalankan dakwah dan menyatakan aqidah mereka secara terang-terangan.
Ibnu Mas’ud mengatakan: “Islamnya Umar adalah kemenangan, dan hijrahnya adalah kemenangan, pemerintahannya adalah rahmat. Kami tidak pernah boleh solat di depan Ka’bah hingga Umar masuk Islam. Tatkala dia masuk Islam, dia berani menentang kaum Quraisy, sehingga dia berani untuk solat di depan Ka’bah dan kami pun solat bersamanya.”
Kaum muslimin berada dalam situasi yang sangat berbeza sejak sebelum terjadinya hijrah ke Habasyah.
Bukan saja mereka boleh solat secara langsung di depan Ka’bah, malah mereka sudah boleh terang-terangan keluar dari rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam menuju Baitullah.
Sehinggakan, perkara baik ini didengari oleh para sahabat yang berada di Habasyah, sehingga mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Makkah setelah yakin bahawa pengislaman Hamzah dan Umar membawa kemuliaan dan kekuatan kaum muslimin.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)