,

Keikhlasan Dalam Menuntut Ilmu

Ilmu merupakan kunci pembuka kepada amalan-amalan yang lain. Ini kerana dengan ilmu, seseorang itu dapat membezakan antara hak dan batil, mengetahui apa kewajipan yang perlu dia lakukan, bagaimana untuk melakukannya serta faham kenapa dia harus melakukannya.

Oleh kerana itu,keikhlasan dalam menuntut ilmu bukanlah suatu yang harus dipandang enteng, namun sebaliknya perlu sentiasa dijaga dan ditajdid niatnya supaya perkara yang dilakukannya itu tidak menjadi debu yang berterbangan di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

وَمَآ أُمِرُوٓا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.” (Surah Al-Bayyinah 98: Ayat 5)

Keikhlasan dalam menuntut ilmu bukan sahaja dapat mempengaruhi peribadi individu itu tersebut bahkan orang di sekitarnya juga terkesan hasil daripada keikhlasannya.

Di antara tanda-tanda ikhlas dalam menuntut ilmu ialah:

Membuahkan ilmu yang bermanfaat

Ilmu itu akan memberikan manfaat dan faedah kepada pemiliknya khususnya, dengan membuat hatinya semakin lembut, jiwanya semakin tunduk kepada Sang Pencipta serta lisan dan matanya semakin terjaga daripada perkara yang melalaikan.

Selain itu, ilmunya juga dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan akhlaknya akan bertambah mulia.

Mengamalkan ilmu

Apabila seseorang itu memiliki keikhlasan dalam menuntut ilmu, sewajarnya dia akan faham bahawa ilmu yang diperolehnya itu bukanlah untuk disimpan sahaja namun setiap apa yang dipelajarinya itu perlu diamalkan.

Al Khatib al-Baghdadi mengatakan, “Seseorang tidak dianggap berilmu selama ia tidak mengamalkan ilmunya. ”

Sentiasa memperbaiki niat

Orang yang merasakan dirinya ikhlas adalah tanda bahawa dirinya tidak ikhlas.

Seharusnya orang yang ikhlas akan sentiasa memperbaiki dirinya dan memperbaharui niatnya dalam setiap amal perbuatan dan meskipun begitu dia masih lagi tidak merasakan dirinya sudah ikhlas.

Semakin tunduk dan patuh kepada Allah swt

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمٰٓؤُا ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Fatir 35:28)

Pada ayat di atas Allah swt menyebutkan bahawa orang yang takut kepada-Nya adalah orang yang berilmu.

Oleh kerana itu, semakin bertambah ilmu seseorang, semakin tunduk ia kepada Allah swt.

Seseorang yang berilmu akan mengetahui akan keagungan dan kebesaran Allah swt. Dia akan menginsafi dirinya bahawa ilmu yang dimilikinya itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ilmu Allah.

Tidak layak baginya untuk menerima puji-pujian, menyebabkan dia akan semakin tawadhu’ di hadapan orang lain dan tidak merasakan dirinya lebih baik daripada yang lain.

Dirinya semakin tunduk, takut dan sentiasa merasakan diperhati oleh Allah swt.

Mahasiswa sebagai penggalas tugas hakiki untuk menuntut ilmu perlu sentiasa peka dan cakna akan keikhlasan hati dalam melakukan apa saja amalan terutamanya tatkala menimba ilmu.

Suka untuk saya akhiri tulisan ini dengan potongan nasihat daripada Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam muqaddimah kitabnya, Bidayatul Hidayah :

“Ketahuilah wahai saudaraku yang sangat berminat dan mempunyai perhatian dalam mencari ilmu, yang telah menunjukkan cita-cita yang tinggi dan rasa sangat dahaga terhadap ilmu pengetahuan.

Seandainya engkau berniat dengan mencari ilmu ini untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkenal di kalangan kawan-kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia,

maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agamamu dan membinasakan dirimu sendiri dan menjual akhiratmu untuk mendapatkan harta dunia, maka penjualanmu adalah rugi dan perniagaanmu porak-peranda.”

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzat Hakimi. Beliau merupakan mahasiswa dari Universiti Malaya.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%