Saya nak berkongsi kisah Khadijah meninggal dunia, seperti yang dinyatakan di dalam kitab Rahiq Makhtum.
Dua atau tiga bulan setelah kematian Abu Talib (dengan adanya perbezaan pendapat dalam hal ini), Ummul Mukminin Khadijah al-Kubra juga meninggal. Meninggalnya pada usia 65 tahun, pada bulan Ramadhan tahun kesepuluh kenabian. Pada waktu itu, umur Rasulullah adalah 50 tahun.
Khadijah merupakan salah satu kurniaan agung daripada Allah untuk Rasulullah. Seperempat abad hidup bersama Rasulullah , Khadijah sentiasa mendampingi baginda dengan penuh perhatian terutamanya ketika ujian dan keresahan melanda, menyokong baginda tatkala genting, membantu baginda menyiarkan agama Islam, menyertai baginda mengharungi pahit dan payahnya perjuangan serta menyokong baginda dengan jiwa dan hartanya.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan tentang Khadijah, “Dia mengimaniku ketika banyak manusia mengingkariku. Dia percaya pada kejujuranku ketika banyak manusia menuduhku berdusta. Dia memanfaatkan hartanya untukku ketika banyak manusia memulauku. Daripadanya, Allah mengurniakanku anak dan tidak daripada isteri-isteriku yang lain (Rasulullah ada enam orang anak bersama Khadijah, seorang anak bersama Mariah Al-Qibthiyyah).” (Hadith riwayat Ahmad)
Ketika Khadijah meninggal dunia iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke-10 kenabian di Makkah, Rasulullah berasa sangat terkesan. Apa tidaknya, lebih kurang dua atau tiga bulan sebelum tu, pak ciknya Abu Talib telah meninggal dunia. Kedua-dua mereka adalah antara orang kuat dalam membela perjuangan dakwah Baginda di Makkah. Sehinggakan, tahun tersebut dikenali sebagai ‘tahun dukacita’ (‘am al-huzn).
Sebagai pengajaran, dunia adalah seperti RnR (tempat rehat dan rawat) yang menjadi tempat persinggahan kita buat sementara waktu sebelum tiba ke destinasi yang sebenar (akhirat – sama ada syurga atau neraka). Setiap yang hidup pasti akan meninggalkan kita, termasuklah kita sendiri!
Setiap hari, ada saja berita kematian yang kita dengar, sama ada orang yang kita kenal atau melalui media. Jadi, bagaimana penghujung kematian yang kita inginkan? Adakah husnul khotimah (pengakhiran baik) atau su’ul khotimah (pengakhiran buruk)?
Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.