, ,

Ke Mana Kita Selepas Ramadan?

Memasuki fasa terakhir dalam bulan Ramadhan, beerti semakin hampir umat Islam akan menamatkan kem latihan Ramadhan.

Namun, apakah pesta ibadah dan kemeriahan yang dirasakan dalam bulan ini akan berakhir di kala satu Syawal menjelma?

Biarpun, Ramadhan masih belum melabuhkan tirainya, wajarlah bagi kita untuk memeriksa kembali perjalanan Ramadhan yang telah dilalui pada tahun ini agar masa yang masih berbaki ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Inilah saatnya kita memecutkan momentum ibadah yang telah dilaksanakan, agar matlamat sebenar daripada tarbiyah Ramadhan ini dapat digapai dengan sempurna.

Ayuh, kita muhasabah diri bersama. Ketaqwaan sebagai manifestasi akhir latihan dalam bulan Ramadhan. Apakah Ramadhan ini berhasil untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kita selepas ini?

Apakah mampu, momentum ibadah dalam bulan mulia ini dapat diteruskan untuk bulan-bulan yang akan datang?

Atau ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir Hari Raya sebagai tanda kemenangan?

Berpuasa bukan sekadar kita memelihara perkara yang dilarang secara fizikal serta menjaga adab-adab berpuasa tetapi juga menuntut kita berjuang memelihara daripada aspek rohani.

Jadi, kedua-dua aspek ini perlu digabungjalin untuk menjadikan Ramadhan ini sebagai satu madrasah dalam mendidik hati kita untuk bulan-bulan seterusnya.

Sewajarnya, kita tidak mahu beranggapan bahawa Ramadhan ini sebagai bulan untuk mengikat nafsu hanya buat sementara waktu tetapi apabila Ramadhan telah berlalu pergi, nafsu yang dikekang tersebut terus kembali bermaharajalela.

Sungguh Nabi Muhammad SAW pernah memperingatkan umatnya tentang kepincangan puasa yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja.”

Sudahkah kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan pengisian yang terbaik?

Mengekang nafsu, memperjuangkan semangat yang berkobar-kobar dalam mengerjakan solat fardhu, terawih serta solat-solat sunat yang lain?

Atau , adakah ia hanya sekadar ikut-ikutan yang mahu memeriahkan Ramadhan.

Bersemangat pada awalnya tetapi tumbang menjelang akhirnya. Tanpa kita menginsafi dan menyedari daripada lubuk hati sendiri tentang kepentingan dan keutamaan ibadah dalam bulan Ramadhan bagi mereka yang mahu merebutnya.

Ramadhan semakin berakhir. Masjid dan surau semakin sepi. Barangkali kita berputus asa kerana gagal melihat sesuatu yang bernilai di hadapan.

Kita tidak nampak hasil yang diperolehi daripada pecutan ibadah yang dilakukan dek kerana nilaian manusia itu kerapkali berdasarkan penilaian mata kasar bukannya mata hati.diamalkan atau sebaliknya?

Justeru, laluan Ramadhan yang masih tinggal ini, seharusnya menjadi kayu pengukur kepada amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan dan akan lakukan selepas ini.

Teringat kisah yang terakam dalam hidup Imam Malik bin Anas yang menangis ketika hendak berbuka puasa menjadi pedoman.

Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata:”Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit.”

Bagaimana pula dengan puasa kita pada hari ini?

Tidak cukup dengan beraneka jenis makanan, dijamu dengan bufet Ramadhan di restoran dan hotel mewah, ditambah lagi dengan juadah di bazaar Ramadhan yang sememangnya menyuntik nafsu yang sedang kelaparan.

Kita sebenarnya mewah dengan makanan tapi kita miskin untuk menjiwai nilai ibadah.

Tidak menjadikan makan sebagai ibadah tetapi diletakkan sebagai tumpuan dan habuan sepanjang hari berpuasa.

Sungguh, terlalu jauh untuk membandingkan puasa kita dengan ulama terdahulu apatah lagi insan teragung Rasulullah SAW.

Namun, ia boleh dijadikan pengukur untuk memperbaiki puasa kita agar nanti ia memberi kesan yang baik bukan setakat untuk nilai kesihatan tetapi juga nilai rohani kita selepas melalui Ramadhan ini.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%