,

Rasullullah Diracuni Daging Kambing

Diceritakan bahawa seorang wanita yahudi bernama Zainab binti Harits iaitu isteri Salam bin Masykam menghadiahkan daging kambing beracun kepada Rasulullah di Khaibar. Zainab bertanya bahagian kambing mana yang paling disukai Rasulullah, lalu diberitahu bahawa Baginda paling menyukai kaki kambing bahagian depan. Zainab meletakkan lebih banyak racun di bahagian itu.

Lalu, ketika Rasulullah mengambil bahagian kaki depan, Baginda mengambil sepotong daging dari bahagian itu dan tidak mengunyahnya. Namun, salah seorang sahabat Nabi iaitu Bisyr bin Al-Barra’ yang turut sama makan telah meninggal dunia.

Ketika Rasulullah memuntahkan daging itu, Bisyr juga memuntahkan daging yang dia makan, kemudian Baginda bersabda: “Jauhkan tangan kamu (dari daging itu) kerana kaki depan kambing ini memberitahu kepadaku bahawa ia telah diperlakukan secara zalim.”

Zainab yang meracuni kambing itu dihadapkan kepada Rasulullah, lalu dia berkata: “Aku ingin membunuhmu.” Baginda bersabda: “Allah tidak akan pernah memberimu kuasa untuk membunuhku.” Sementara itu, para sahabat yang lain memberikan cadangan agar perempuan yahudi itu dihukum bunuh.

Ketika Bisyr meninggal dunia, maka perempuan yahudi itu juga dihukum mati kerana perbuatannya sendiri. Racun yang diberikan itu sangat kuat sehingga Bisyr terus meninggal dunia setelah memakan daging kambing itu.

Rasulullah berbekam dan meminta para sahabat yang memakan daging kambing itu juga untuk berbekam. Kesan racun itu dirasai Rasulullah sehinggalah sebelum Baginda wafat.

Dalam hadith riwayat Bukhari, Aisyah r.a., mengatakan: “Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam berkata pada waktu sakit yang membawanya meninggal dunia: “Wahai Aisyah, aku masih merasakan sakitnya racun makanan yang aku makan di Khaibar, kini sudah tiba waktunya saraf punggungku terputus kerana racun itu.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)