,

Kaum Muslimin Di Habsyah Datang Bertemu Rasulullah Setelah Perang Khaibar

Rombongan kaum Muslimin termasuklah Ja’far bin Abu Talib yang telah berhijrah ke Habsyah pada awal perkembangan Islam telah datang bertemu dengan Rasulullah ketika penaklukan Khaibar, kebetulan pada waktu yang sama.

Sehinggakan, ketika Rasulullah mencium dahi dan memeluk Ja’far, Baginda mengatakan: “Aku tidak tahu mana aku yang lebih senang; apakah penaklukan Khaibar ataukah kedatangan Ja’far.” Mana tidaknya, sudah belasan tahun kaum Muslimin itu berada di Habsyah.

Disebabkan lama berada di Habsyah, maka kumpulan Islam yang berhijrah ini banyak ketinggalan ayat-ayat Al-Quran, peperangan melawan golongan kafir, sehinggakan ada yang menyangka bahawa golongan yang berhijrah ke Habsyah memiliki kemuliaan lebih rendah daripada sahabat-sahabat lain kerana ketinggalan banyak perkara.

Sehinggakan, ada kata-kata daripada Umar bin Khattab iaitu: “Kami lebih dahulu berhijrah daripada kamu, jadi kami lebih berhak atas Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam daripada kamu sekalian.” Seolah-olah menyatakan bahawa kaum Muslimin yang berhijrah ke Habsyah itu lebih kurang haknya kepada Rasulullah.

Perkara tersebut membuatkan Asma’ binti Umais iaitu salah seorang sahabiah yang berhijrah ke Habsyah melaporkan perkara itu kepada Rasulullah dan bercerita apa yang dikatakan Umar.

Lalu, Rasulullah menyatakan: “Tidak ada yang paling berhak terhadap diriku daripada kamu sekalian. Umar dan para sahabatnya hanya berhijrah satu kali sahaja, sedangkan kamu sekalian para penumpang perahu berhijrah dua kali.” (Hadith riwayat Bukhari)

Bahkan, sebagai kemuliaan kaum Muslimin yang baru saja datang dari Habsyah setelah perang Khaibar, maka Baginda turut memberi mereka harta rampasan perang setelah meminta izin para sahabat yang turut serta dalam perang Khaibar.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%