,

Perbezaan Pandangan Dalam Ramadan Harus Diraikan

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak.

Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama, tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain meraikan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kaum, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini.

Jelas terserlah ruh ayat Allah:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah.

Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip. Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah pada satu Ramadan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan.

Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun dalam kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan tarikh 1 Ramadan atau sama ada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan sama ada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya.

Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perkara furu’ dan khilafiyah seperti itu tidak sepatutnya menjadi penyebab kepada perpecahan. Kita perlu menghormati kebebasan yang Islam berikan dalam berbeza pendapat.

Islam mengajar kita bertoleransi dan berpegang dengan adab dan akhlak ketika berlaku perbezaan pendapat. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

Anas bin Malik berkata: “Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari and Muslim).

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi SAW yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara¬perkara khilafiyah sebegini.

Ingatlah pesanan Allah: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan).” (Surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita.

Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.

Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%