,

Kala Jiwa Rebah (Atau Hampir Rebah) – Mengadulah pada Tuhanmu

Mengadu pada manusia, belum tentu sang manusia mahu mendengar. Tapi jika kau mengadu pada Tuhanmu, sesungguhnya Tuhanmu itu Maha Mendengar segala rintih perih hambaNya.

Mengadu pada manusia, terkadang mereka hanya mampu menjadi pendengar namun tidak mampu untuk memberi solusi terbaik.

Jangan berhenti mengadu segala kekusutanmu pada Tuhan, Dia pasti akan mengurniakan ilham terbaik buatmu merungkaikannya.

Kadang-kadang Tuhan akan kirimkan seseorang buatmu meluahkan segala kekusutan yang membelenggu jiwa.

Dianugerahkan sahabat baik yang selalu menjadi pendengar setia itu merupakan satu nikmat tak terhingga dari Tuhan kerana tidak semua orang mampu menjadi pendengar yang baik.

Memang benar ia meringankan separuh dari beban yang memberat di pundakmu. Namun ketenangan hakiki itu adalah ketenangan sebenar yang diraih ketika kau hamparkan pengaduanmu di hadapan Tuhanmu.

Saat kau mengadu pada manusia, mungkin pertama kalinya mereka akan sudi meluangkan masa untuk mendengar tiap patah kalimah keluh-kesahmu.

Kali kedua, ketiga dan seterusnya kebarangkalian untuk jemu mendengar itu pasti ada, kerana yang mendengar itu juga adalah manusia yang tetap punya limitasi sabar tertentu.

Tapi saudaraku, jika kau mengadu setiap getirmu pada Tuhan, Tuhan itu sentiasa ada, malah tidak pernah jemu untuk mendengar seinfiniti luahanmu tanpa limitasi.

Pada ketika dirimu amat memerlukan seseorang untuk mendengar, kau harus tahu bahawa manusia itu terkadang punyai keinginan masa bersendiri yang tidak boleh diganggu.

Tapi tidak dengan Tuhan. Bila-bila masa sahaja yang kau ingin, kau boleh terus mengadu kepada Dia tanpa secuit pun rasa ragu malah juga tanpa batas masa tertentu.

Akan ada suatu tahap terendah dalam hidupmu, di mana kau merasa keseorangan, sehingga tiada seorang pun daripada temanmu yang berada di sisimu pada saat paling getir.

Benar, kau punya sahabat akrab yang pernah berjanji tidak akan pernah meninggalkanmu saat kau terjatuh.

Tapi kau harus ingat, seakrab mana pun sang teman, dia tetap manusia yang punya komitmen tersendiri.

Seakrab mana pun seorang sahabat, dia takkan setiap saat berada di sisi.

Maka pergilah, sujudlah, berceritalah pada Tuhan dan tanamkanlah keyakinan bahawa Tuhan itu tidak akan pernah meninggalkanmu, selagi mana kau mengingatiNya.

“Jangan terlalu bergantung harap dengan manusia, kerana sedangkan bayang-bayang pun akan meninggalkanmu ketika berada dalam kegelapan.” – Imam Ibn Taimiyyah

Sehebat mana pun seorang kaunselor atau pakar motivasi dalam mendengar aduan dan masalah orang ramai, mereka tetap manusia yang sentiasa berhajatkan bantuan dan kekuatan daripada Tuhan.

Seseorang yang kau lihat tenang dan sentiasa tersenyum itu mungkin tak siapa akan menyangka perit pahit hidup di sebaliknya. Dari mana ketenangan itu berjaya diraih kalau bukan daripada Tuhan?

Maka, utamakanlah pergantunganmu kepada Tuhan, lebih daripada pergantungan kepada manusia. Kerana manusia itu tak selamanya ada, tetapi Tuhan itu kekal dan sentiasa ada untukmu.

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

20 points
Upvote Downvote

Total votes: 20

Upvotes: 20

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%