,

Intelektual Dan Moral

Berkurun lama dahulu Al-Quran telah menjanjikan khabar gembira buat golongan intelektual dan perkara ini diperjelaskan di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

Secara ringkasnya, ayat ini diturunkan untuk menegur segelintir sahabat yang tidak memberi tempat duduk kepada pahlawan badar yang terlambat datang dan ingin turut bersama bersama di dalam majlis Rasulullah. (sumber Qatadah oleh Ibnu Jarir)

Namun fokus utama di sini adalah di penghujung ayat ini yang memberi khabar gembira buat dua golongan iaitu orang yang beriman dan orang yang berilmu.

Orang yang berilmu akan diangkat kedudukannya kerana ilmu yang mereka pelajari itu dapat memberi manfaat kepada orang lain jika disebarkan.

Ilmu di sini tidak terbatas oleh ilmu ukhrawi semata-mata, tetapi di dalamnya termasuk juga ilmu duniawi.

Apa jua ilmu yang dimiliki dan memberi manfaat kepada diri serta orang lain, pasti ilmu itu tergolong di dalam tiga amalan yang berpanjangan walaupun pemiliknya telah meninggal dunia.

Kata Abdullah bin Abbas :
“Jadilah kalian orang-orang rabbani, hukama (ahli hikmah) dan fuqaha. Dikatakan bahawa rabbani adalah orang yang mendidik manusia dari ilmu yang kecil sehingga yang besar.” (Fath Al-Bari, 1/212)

Jelas di sini bahawa berilmu itu merupakan tuntutan kepada setiap dari kita dan ganjaran di sebaliknya juga tidak ternilai.

Namun kita tidak cukup di sini sahaja malahan orang yang berilmu itu seharusnya mempunyai sisi-sisi tambahan untuk mencerminkan darjat ilmu yang dimiliki olehnya.

Orang yang berilmu wajib mempunyai peribadi tinggi dan membumikan nilai moral dalam kehidupan mereka.

Sheikh Ibnu ‘Utsaimin Rahimahullah berkata,
“Seorang penuntut ilmu, apabila tidak menghiasi diri dengan akhlak-akhlak yang mulia maka tidak ada faedah menuntut ilmunya.”

Perkara ini merujuk kepada segelintir golongan intelektual yang sukar untuk mempamerkan nilai moral yang terbaik sedangkan ilmu yang digalasi olehnya itu jauh lebih tinggi dari orang lain.

Tidak dinafikan mereka ini daripada golongan yang berpengaruh dan menjadi tatapan masyarakat setempat hatta di kampus pengajian.

Persoalan yang timbul, di manakah praktikaliti keseimbangan antara ilmu dan akhlak di dalam diri?

Apakah cukup dengan ilmu yang kita ada, mulut kita benar belaka walhal menyinggung hati?

Abdullah bin Amru meriwayatkan, “Sebaik-baik muslim adalah yang kaum muslimin selamat daripada keburukan lisan dan tangannya.”

Maka seruan untuk tiap-tiap Muslim menjaga lisan (kata-kata) dan tangan (penulisan) daripada menyakiti dan menyinggung perasaan orang lain.

Frasa “selamat daripada lisan dan tangannya” mencakupi gangguan dengan bentuk ucapan mahupun dengan gerakan lisan yang bersifat melukai perasaan orang lain.

Seringkali terjadi apabila timbul isu hangat dan semua orang ingin mengemukakan pandangan menurut capaian ilmu masing-masing.

Pelbagai bentuk kebobrokan yang berlaku dalam situasi ini, antaranya menggunakan provokasi, sindiran dan cacian sebagai buah kilas untuk menegakkan hujah.

Apakah ianya melambangkan kita seorang yang berintelektual?

Gunakanlah medium yang tepat untuk mencari titik penyelesaian bukan sekadar melemparkan batu kemudian sorok tangan.

Tidak salah untuk memberi pandangan, mengkritik dan berhujah, soalnya di sini cara dan bahasa yang digunakan itu sewajarnya menampakkan identiti sebagai seorang yang berintelektual apatah lagi jika seorang pelajar agama.

Imam Ibnu Rajab berkata: “Sedangkan kalau tujuan dari si pengkritik itu untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan, menjelaskan kebodohan dan kekurangannya dalam hal ilmu dan yang semisalnya, maka hal itu haram hukumnya.”

Moga-moga sedikit penulisan daripada sang kerdil ini membuka mata pejuang-pejuang anak bangsa dan agama yang gagal menonjolkan nilai moral peringkat kluster selaras dengan ilmu di dada.

Cukup sekadar di sini sahaja celoteh daripada sang pemula. Asiif ala kulli hal!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fakhril Zaidi. Beliau merupakan aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam dan juga seorang mahasiswa Tahun 1 Universiti Malaya.

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (Tarikh tutup: 15/11/2018. Artikel terpilih akan disiar sehingga 15/12/2018)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%