,

Aku Tak Sanggup Lihat Kau Muflis Di Akhirat Nanti

“Kau tau tak, bengang giler aku dengan dia. Menyampah aku. Dia fikir dia bagus sangat. Tak payahlah nak tunjuk hebat. Setakat jawab benda simple macam tu, aku pun boleh. Saja nak mengampu lecturer la tu!”

Luahku dengan perasaan yang berbaur. Geram, menyampah dan berbagai rasa yang menjengkelkan hati.

Dia diam tanpa bersuara. Tangannya laju menulis sesuatu di atas kertas.

Aku mula bengang apabila merasakan diri ini seolah-olah tidak dipedulikan.

“Wei, kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Beria aku cerita, kau buat tak tau je,” bentakku sedikit geram dengan reaksinya.

Dia memandang aku lama. Kemudian, dia menggapai tanganku dan menyelitkan sesuatu di tapak tanganku.

Dia terus sahaja berlalu pergi meninggalkan aku setelah menghadiahkanku segaris senyuman penuh makna.

Aku memandangnya aneh. Dia tinggalkan aku macam tu je? Aku melihat nota kecil yang diselitkan di tapak tanganku tadi. Segera aku buka lalu kubaca.

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” (Surah al-Humazah: 1)

Sahabatku, bukan sengaja aku menyakiti hatimu atau tidak mengendahkan luahan perasaanmu.

Namun kerana sayang, aku hanya bisu mendengar setiap luahanmu, takut bicaraku hanya menambah amarah yang kian menguasai hatimu.

Cuba kau lihat kembali kata-kata yang terluah daripada bibirmu.

Apa kau tidak menyedari kata-katamu begitu tajam seperti tajamnya mata pedang yang bisa membunuh musuh dengan sekali tusukan yang begitu menyakitkan?

Kata-kata penuh umpatan dan celaan yang kau tujukan buat dia, saudara seIslammu.

Dia saudaramu, apa kau sanggup meratah dagingnya mentah-mentah? Tidak, bukan?

Namun, kau tahu sesiapa yang mengumpat saudara seIslamnya adalah seumpama dia memakan daging saudaranya yang telah mati..

Apa kau lupa pesanan Tuhan buatmu?

Sungguh, aku tidak sanggup melihat kau menjadi insan muflis saat kita dihadapkan di hadapan Tuhan kelak.

Maafkan aku, mohon kau mengerti.

Ikhlas,
Sahabat yang menyayangimu.

******

Aku terpana sendiri. Ada getaran hebat dalam hati. Astaghfirullahal’azim!

Aku telah mengundang murkaNya.

Sungguh aku telah menjadi orang yang celaka, masih layakkah diriku menggapai syurga?

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%