,

Bagaimana Rasulullah Menunjukkan Teladan Kepada Para Sahabat Yang Tidak Mengikut Perintah Pada Awalnya

Perjanjian Hudaibiyah kelihatan seolah-olah berat sebelah dan memihak kepada kaum musyrikin, sehingga para sahabat sendiri ramai yang tidak bersetuju. Namun, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Setelah itu, Baginda memerintahkan para sahabat dan diulang sebanyak tiga kali: “Berdirilah, sembelihlah (haiwan korban) kemudian cukur rambut kamu.” Hal ini adalah kerana kaum Muslimin tidak jadi untuk melaksanakan umrah di Makkah.

Tetapi, tiada seorang sahabat yang berdiri dan menunaikan perintah itu, sehingga Baginda meninggalkan para sahabat dan menemui isterinya Ummu Salamah. Setelah bercerita apa yang berlaku, Ummu Salamah memberi cadangan supaya Rasulullah terlebih dahulu menyembelih untanya dan memanggil tukang cukur untuk mencukur rambut Baginda.

Bersetuju dengan cadangan isterinya, lalu Rasulullah tidak bercakap dengan para sahabat sehinggalah setelah melakukan korban dan cukur rambut. Melihat perkara tersebut, barulah para sahabat berdiri dan melakukan perkara yang sama.

Ketika para sahabat ada yang mencukur rambut tetapi ada yang memendekkan (menggunting) rambut, Rasulullah bersabda: “Semoga Allah merahmati orang-orang yang bercukur.”

Para sahabat bertanya bagaimana orang yang memendekkan rambut, tetapi Baginda menyebut kelebihan orang bercukur itu dua kali lagi, yang seterusnya barulah disebut “Dan yang memendekkan rambut.”

Di antara haiwan korban Baginda di Hudaibiyah ialah unta milik Abu Jahal yang mana di kepala unta itu ada kalung emas, secara tidak langsung ia membuatkan kaum musyrikin berasa marah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)