,

Jaga Hak Allah, Allah Akan Jaga Kita

“Kenapa prestasi kita tiga bulan ni jadi macam ni?”

Saif menongkat dagu sambil rehat seketika. Dia baru sahaja selesai meneliti fail ketiga organisasi itu. Mindanya mulai penat.

“Jadi macam mana?” Inas kembali menyoal sahabat baiknya itu.

“Yelah, semakin sikit sales yang masuk. Tak agresif seperti sebelum ni. Kita pun dah lama tak buat trip baru,” Amani mengeluh kecil.

Inas faham kegusaran yang difikirkan oleh Amani itu. Benar kata Amani, tiga bulan ni prestasi syarikat mereka sangat pasif.

Sudah seminggu dia dan Saif meneliti semula setiap perancangan yang telah dirancang dan juga yang telah dijalankan, dari segenap aspek mereka perhatikan.

Jika berterusan begini, masalah besar lain pula timbul.

“Kalau tengok aktiviti pemasaran media sosial ni, agak tinggi juga engagements yang diterima. Banyak betul shares dan likes di Facebook. Ada je klien yang Whatsapp dan mesej di Instagram. Macam tiada masalah langsung dengan teknik pemasaran yang kita dah buat ni. Tapi klien tak lekat, sekadar bertanya sahaja. Mungkin unit pemasaran kena lebih ekstrem lagi rasanya,” Saif menghalakan skrin komputer ribanya pada Inas dan Amani, menerangkan segala hasil penelitiannya.

Inas mengangguk kecil mengerti akan setiap penerangan yang disampaikan oleh Saif. Pen hitam masih di tangan.

Berselerakan beberapa keping kertas kerja di hadapannya, yang memerlukan buah fikirannya sendiri. Amani pula dalam dia mendengar, kerutan di dahinya semakin kelihatan.

Trip yang terakhir kita uruskan adalah Projek Kembara Petra. Klien yang pernah sakitkan Inas. Entah-entah dia sudah tahu yang Inas ada dalam syarikat ni. Kerja dialah ni bagi prestasi kita jatuh begini!”

Nadanya sedikit berubah. Tangannya juga spontan dikepalkan, geram jelas kelihatan di matanya.

“Astagfirullah al a’zim,” Inas dan Saif spontan melafazkan kalimah itu saat Amani selesai bicara.

“Ingat Allah, Amani. Jangan kerana emosi, binasa diri dan jiwa kita,” sambung Saif.

“Sudahlah Amani, kita lupakan segala yang telah berlaku. Inas tak pernah sesekali kaitkan mereka dengan keadaan kita sekarang ini. Jika perkara itu tidak benar, boleh jadi fitnah. Berdosa tu Amani.”

Amani tertunduk diam. Dia mula sedar yang dia sudah terlepas kata dek masih menyimpan amarah atas perbuatan mereka.

“Jangan disimpan lagi perasaan negatif tu, nanti boleh jadi hitam hati tu. Segala yang telah berlaku, kita lupakan. Pepatah Eropah kata please move on,” Saif kembali mencelah.

“Maaf, Amani terlalu ikutkan perasaan. Memaafkan lebih mudah daripada melupakan. Amani cuba untuk tidak lagi berfikir hal lama. Semoga Allah kuatkan Amani,” Amani mula merendahkan nada suaranya.

Mesyuarat mingguan dijalankan seperti biasa, dengan gaya yang paling santai, bagi membincangkan segala isu berbangkit serta perkembangan setiap unit yang ada.

Masing-masing mendiamkan diri menanti Inas. Hampir 15 minit juga mereka melayan perasaan sendiri. Bagi yang diamanahkan membuat pembentangan pula kelihatan sedang sibuk meneliti slaid pembentangan.

“Assalamualaikum semua. Maafkan saya kerana lewat. Ada urusan sedikit di atas tadi. Boleh kita mula?” Inas melangkah masuk dan terus mengambil tempatnya.

Pembentang pertama adalah daripada unit pemasaran. Farhan dengan cermat memaparkan slaid yang telah disiapkan.

Dia kelihatan yakin kerana terlebih dahulu sudah membentangnya pada Saif. Begitulah prosesnya. Saif akan menapis terlebih dahulu hasil kerja anak buahnya sebelum diberitahu umum.

“Farhan, sila duduk,” Inas memberi arahan. Farhan terkedu. Terpinga-pinga dia berdiri di hadapan semua. Belum mula sudah kena duduk balik?

“Saya pasti kamu semua mesti tertunggu-tunggu nak tahu agenda kita pada mesyuarat ni kan? Mesti masing-masing sudah sedia dengan slaid dan rekod prestasi. Dan saya yakin mesti kamu semua ligat berfikir segala cara yang boleh dilakukan untuk menaikkan semula sales dan prestasi syarikat ini,” sambung Inas kembali.

Inas memandang dengan tenang setiap wajah yang hadir. Tidak lekang senyuman di bibir.

“Apa yang telah terjadi beberapa bulan ni adalah salah saya sendiri, bukan salah kamu semua. Saya tidak mentadbir dengan baik.”

Saif dan Amani berkerut. Mereka benar terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh Inas. Begitu juga yang lain, mereka turut sama bingung.

“Dulu, saya pernah bekerja di syarikat korporat yang terkemuka. Kalau saya beritahu nama syarikat tu pada kamu semua, saya yakin kamu semua tahu betapa gahnya syarikat tersebut. Saya gembira sangat bila dapat tawaran bekerja kerana akhirnya saya dapat bantu biaya keluarga saya. Dapat bantu ayah saya bayar hutang. Saya seronok sangat. Saya buat kerja sungguh-sungguh. Saya balik lewat malam, sampai ofis awal pagi. Setiap kali bos suruh pergi meeting, saya akan pergi walaupun saya tak suka sangat pergi. Tapi, walau sibuk macam mana pun, saya akan pastikan solat awal waktu serta sedekah kena selalu. Alhamdulillah, saya rasa sangat lapang dan rezeki tu cukup je. Ada je sentiasa.”

Inas terhenti kata seketika.

“Setelah setahun bekerja, saya makin sibuk. Disebabkan terlalu biarkan diri sibuk dengan kerja, solat awal waktu saya ke laut. Solat sunat yang lain jangan cakaplah, kalau rajin dan teringat je akan buat. Kalau mula-mula kerja dulu sempat juga pergi dengar kuliah kat tingkat bawah ofis. Tapi lama-lama, semua saya tinggalkan kerana bagi saya benda tu semua boleh dengar kat Youtube je. Tapi adakah saya dengar? Dan nak tahu apa jadi pada saya?”

Sunyi. Tiada seorang pun yang mahu menjawab pertanyaan Inas itu.

“Bila dapat gaji je, saya rasa insecure. Rasa macam tak cukup dengan apa yang telah saya dapat. Saya yakin saya dah buat kerja betul-betul. Workaholic kot saya ni. Tapi kenapa tak cukup? Dari bagi RM300 sebulan pada ayah, saya hanya rasa mampu bagi RM50 sahaja. Mana pergi duit saya yang lain? Saya jujur dalam buat kerja. Apa silap saya? Berlarutan benda tu sehingga saya sakit dan berhenti kerja. Barulah saya perlahan-lahan dekatkan diri semula pada Allah. Yelah, dah sakit kan? Nak sembuh perlu minta pada Yang Maha Memberi Kesembuhan itu sendiri.”

“Dalam saya kembali nak pulihkan diri, kembali betulkan diri, saya pelik,” Inas henti bicara kembali, mengingat kembali segala yang telah berlaku padanya.

“Kenapa pelik?” Soal Farhan memecahkan sunyi bilik itu.

Inas tersenyum mendengar soalan tersebut.

“Pelik sebab rasa cukup dengan semua benda. Saya tak bekerja, tetapi ada sahaja datangnya rezeki tu pada saya. Ada orang bayarkan duit makanlah, duit pergi kursuslah, dan memang saya rasa cukup sentiasa. Tenang walaupun saya sedang berdepan dengan krisis kewangan yang sangat tegang. Dari pegang duit ribu-riban, tiba-tiba, hilang semua tu dalam sekelip mata.”

Inas menarik nafas yang panjang, sambil menoleh pada Amani, Saif kemudian kesemua yang ada di dalam bilik itu.

“Bila saya bangunkan syarikat travel kecil ni, saya kerah dan pastikan Zafran untuk sediakan semua tentatif serta atur cara peserta trip berlandaskan syariat. Saya arahkan Farhan untuk hasilkan teknik pemasaran yang boleh buka mata mereka kat luar sana agar tertarik dengan pekhidmatan kita. Saya mahu Amani pastikan unit pengurusan ada setiap rekod ikut prosedur yang betul. I follow all the guidelines accordingly. Saya yakin apa yang telah saya lakukan dalam syarikat ini sudah memadai. Tapi, saya lupa satu benda. Saya ulang semula sejarah yang lama. Kerana sibuk dan leka dengan keseronokan urusan semua ni, saya lupa akan keperluan rohani saya dan kamu semua.”

Inas mengeluh kecil. Malu mahu mengaku kesalahan sendiri di hadapan anak buahnya itu. Malu.

“Selama tiga tahun kita beroperasi, ada saya prihatin tentang penjagaan solat, kelas pengajian, zakat, atau sedekah kita semua? Setakat saya bising yang lelaki jangan lambat-lambat solat Jumaat sahaja, kan? Selain itu ada?”

Sunyi. Semuanya tidak bersuara langsung.

“Inilah silap saya. Bagi saya, keberkatan dalam mengendalikan syarikat itu tiada. Kerana silap saya yang ini, kamu semua terkena tempiasnya sekali. Saya yakin kamu semua amanah dalam menjalankan setiap tugasan yang diberi. Saya teliti semua laporan yang telah dihantar pada saya. Saya amati setiap kertas kerja yang berlambak ni. Seminggu lebih saya fokus buat ini sahaja, tapi saya tak jumpa mana silapnya. Malam tadi, bagaikan kena ketuk kat kepala ni teringatkan kebajikan pengisian rohani pekerja-pekerja yang berada di bawah jagaan saya. Adakah saya menjaga mereka dengan baik atau saya telah abaikan mereka?”

“Tapi bos tak pernah abaikan kami. Selalu juga bos ingatkan kami perkara-perkara yang baik,” Hafizah bersuara memecahkan sunyi.

“Saya tak pernah berikan apa-apa pengisian yang bermakna buat kamu semua. Pengisian yang boleh mendekatkan diri kita pada Allah dan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam.”

“Oleh itu, saya mahu lakukan sedikit perubahan dalam gerak kerja kita semua. Saya benar harap kita semua boleh lakukan ini bersama-sama, niat hanya kerana Allah agar jiwa kita tidak kosong.”

Masing-masing sudah tidak sabar mahu mengetahui perubahan yang dimaksudkan itu. Ada juga yang masih terpinga-pinga.

“Pertama sekali, saya mahu semua pekerja saya amalkan solat sunat Dhuha. Ambillah sedikit waktu di waktu pagi untuk tunaikan solat itu. Saya izinkan. Keduanya, solat di awal waktu dan jika ada kelapangan, kita berjemaah bersama. Masuk je azan, semua berhenti bekerja dan solat. Pada yang mengendalikan trip, masukkan dalam jadual aktiviti untuk ziarah masjid di sana. Semoga klien kita juga diri kita dapat ibrah daripada ziarah tersebut.”

“Saya akan sediakan satu tabung di luar sana, tabung itu akan saya khaskan untuk sedekah bulanan kita semua. Jika nak sedekah atau infak sendiri-sendiri, tiada masalah, tapi kalau nak letak dalam tabung itu pun, tiada masalah, pilihan di tangan masing-masing. Saya akan infakkan kutipan itu pada pihak yang benar memerlukan, dan diniatkan atas nama syarikat ini juga semua ahli di dalamnya. Keuntungan syarikat, akan saya infakkan juga sedikit. Semoga dengan usaha ini, ada jugalah saham kita sedikit kat sana nanti. Sambil bekerja, sambil kita beribadah.”

“Kemudiannya, sekadar tambahan, saya ingin buat kelas mingguan serta ceramah bulanan,” Inas menghentikan kata seketika, menyusun semula nafasnya.

“Kelas?” Farhan menyoal.

“Kelas mengaji ke?” Tanya pula Daud.

“Kelas mengaji boleh. Kelas tafsir atau tadabur al-Quran boleh. Atau terpulang pada ustaz dan ustazah tu nak ajar apa. Pengisian kelas ini saya serahkan pada kamu semua, nanti boleh berikan cadangan dan kita teliti setiap cadangan tersebut. Saya nak jiwa kita hidup. Di samping kita sibuk bekerja, kita ada juga luangkan masa untuk akhirat kita. Walau usaha ini tidak besar mana, tapi jika kita istiqamah, pasti akan berikan hasil yang sangat positif pada diri juga organisasi kita.”

“Jaga hak Allah, Allah akan jaga kita semua dari segenap penjuru. Saya pun terkesan dengan apa yang Puan sampaikan ini. Benar kata Puan, kadang-kala permasalahan itu berlaku puncanya daripada kita sendiri, bukan orang lain. Saya pun pernah begitu. Bersungguh tuding jari pada orang lain, tapi sebenarnya sayalah punca segalanya,” ujar Zafran sambil menahan sebak.

Inas diam seketika. Tidak menyangka Zafran akan memberi respons begitu. Percayalah, setiap yang disampaikan sebenarnya salah satu peringatan buat dirinya agar tidak terlalu mewah dengan kesibukan hingga jiwa terasa kosong.

Bilik mesyuarat itu kembali sunyi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Jauh dibawa diri terbang entah ke mana. Cuma, satu sahaja yang sedang berlegar-legar di setiap benak mereka.

“Jaga hak Allah, Allah akan jaga kita.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%