,

Cabaran Solat Semasa Di Tempat Kerja

Beberapa hari lepas, saya dan kawan sekelas post basic bersembang tentang cabaran & risiko bekerja sebagai ‘midwife’ di bilik bersalin (labour room) dan wad.

Beberapa isu melibatkan doktor, jururawat, pesakit, bayi dan sebagainya kami bincangkan.

Di awal perbincangan kami lebih kepada perbincangan tentang bagaimana seorang jururawat dapat mengatasi stress semasa bekerja terutamanya ketika keadaan wad sangat sibuk.

Semakin hangat perbincangan tersebut apabila salah seorang sahabat mencelah dan bertanya,

Nurse kat wad korang semuanya solat ke?”

“Gulpp…” telan air liur dibuatnya memikirkan jawapan kepada soalan tersebut.

Secara jujurnya, saya melihat kebanyakan jururawat di hospital tempat saya pernah bekerja tidak solat semasa bekerja.

Saya nyatakan kebanyakan kerana memang ramai yang tidak solat semasa bekerja berbanding jururawat yang solat. Tidak kiralah keadaan wad sibuk atau tidak..

Saya nampak ramai jururawat tidak solat sepanjang setahun atau setahun lebih saya bersama mereka iaitu sepanjang tempoh bekerja bersama.

Kalau waktu makan, memang mereka sepakat ambik order, tolong belikan makanan dan makan bersama-sama. Kemudian, mereka makan sambil berborak dan  mengumpat (selalunya ada masa).

Tapi mereka tidak melakukan perkara WAJIB 5 kali sehari itu.

Memang saya tak nafikan, dalam keadaan tertentu, wad sangat sibuk sampai tidak cukup kaki dan tangan untuk buat kerja.

Tapi, isu besar yang saya nampak adalah jururawat di Malaysia tetap di takuk lama kalau mereka terus-terusan meninggalkan solat seharian waktu mereka bekerja.

Mustahil mereka datang bulan selama setahun. MashaAllah, saya belum pernah jumpa lagi kes berat sampai macam tu.

Kalau kita yakin rezeki di tangan Allah, kenapa kita sanggup tinggalkan perkara WAJIB yang Dia suruh?

Ini soalan yang nak sangat saya tanya pada mereka. Semasa bekerja di sebuah hospital di Selangor, saya pernah “terjah” seorang junior dengan soalan ini.

“Awak tak solat ke? Maaf, akak tak pernah nampak awak solat sepanjang kita kerja satu syif.”

Semenjak dari awal bekerja sebagai jururawat terlatih, saya nampak agak senang untuk nurse ‘lari’ pergi solat bila kawan satu team kerja adalah orang yang solat. Memang boleh tukar giliran.

Ok, berbalik kepada soalan yang saya terjah pada junior tu. Adik tu kemudiannya menjawab, “Tak akak. Nanti balik saya qada’…”

“Aikkk..?” Muka saya terus berubah dengan jawapan tersebut dan mata saya terbeliak besar memandangnya.

Masa itu, kami bekerja syif petang dan sedang rehat bersama. Jadi sepatutnya, kami akan memperuntukkan masa untuk solat Asar dan Maghrib sebelum kami tamat syif petang pada pukul 9 malam. Kadang kala saya solat Zohor di hospital sebelum masuk kerja syif petang.

Oleh kerana kurang arif, saya memikirkan sesuatu untuk respon, Tetapi saya belum temui nasihat terbaik pada masa itu. Lalu, saya terus berdiam diri. Saya terfikir juga, “Dia ni pakai fatwa apa?”

Siapa yang ajar kita boleh qada’ semua solat dalam satu waktu sedangkan tiada keadaan yang mudharat?

Sampai satu masa, keadaan wad agak tenang ketika itu, dengan penuh tawakal saya memulakan bicara.

Saya beritahu dia bahawa praktis dan fahaman dia tu salah. Sama sekali menyalahi syariat Islam. Kita WAJIB solat semasa bekerja. Saya terangkan sedikit tentang hukum solat kepada Muslim dan realiti kerja sebagai jururawat yang sentiasa sibuk menguruskan pesakit di hospital.

Seterusnya, saya memberitahu dia bagaimana pelaksanaan solat boleh dilakukan bersama kawan sekerja.

Kemudian, saya kaitkan dengan kesan solat ke atas jururawat yang menjalankan kerja yang sangat mulia di sisi Allah sepanjang hari.

Kesan positif dan ajaib itu saya ceritakan melalui pengalaman sendiri sepanjang bekerja sebagai jururawat. Alhamdulillah dia mengangguk faham dan menerima nasihat saya.

Mungkin saya kena buat topik baru kalau hurai semua isu tentang praktikal solat untuk jururawat semasa bekerja.

Alhamdulillah, beberapa hari sebelum itu, saya bertemu dengan seorang doktor pakar yang telah saya kenali agak lama di sebuah hospital Islam di Bangi.

Kemudian, baru saya temui keberanian untuk terangkan kepada adik tersebut. Walaupun hakikatnya penerangan saya lebih kepada praktikal seorang jururawat, tetapi kejituan fakta perlu bersandarkan kepada seseorang yang arif di dalam bidang kerja doktor dan jururawat.

Dua profession yang diibaratkan seperti adik beradik, tak dapat dipisahkan.  Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya bagi kesedaran kepada seorang junior dan menyelamatkan aqidah dan fahamannya terhadap Islam.

Disebabkan oleh pengaruh rakan sekerja yang tidak solat, dia tidak berani untuk menyatakan hasrat untuk solat semasa bekerja selain takut dicemuh oleh senior yang bertahun-tahun tidak bersolat semasa bekerja.

Ianya seolah-olah dosa yang sebati dalam jiwa mereka. Tiada siapa pun yang pernah menegur mereka. Maka, dosa itu dianggap biasa.

Saya secara jujurnya, saya tidak nampak sangat masalah untuk jururawat bersolat semasa saya kerja kat hospital Islam dulu.

Selepas keluar dari situ, sangatlah berleluasa isu ini. Ianya terjadi sampai ke tahap tidak ambil peduli sesama rakan sekerja.

Mereka asyik melayani waktu kosong tanpa pesakit dengan perkara lain sedangkan mereka lupa tanggungjawab yang WAJIB belum tertunai.

Entah apa yang mereka fikirkan sehingga menidakkan mereka untuk menunaikan solat. Agak sukar untuk menegur bagi junior seperti saya. Sesungguhnya tiada alasan lagi untuk menidakkan kewajipan solat ke atasmu.

Seringkali saya terfikir… kami boleh kerja bersama-sama, makan bersama-sama, kongsi masalah bersama… jalan-jalan bersama… dan segala aktiviti dilakukan bersama-sama.

Tapi apabila tiba waktu untuk solat, mereka menyibukkan diri dengan perkara lalai yang lain selain kerja (contohnya melayani telefon dan berborak kosong).

Saya mungkin tidak cukup kuat untuk dakwah seorang diri. Dalam beberapa realiti dan situasi yang pernah saya hadapi, agak sukar untuk mengajak jauh sekali menegur mereka yang telah lama bekerja tanpa bersolat seharian.

Dari satu perspektif yang lain, saya berpendapat bahawa mereka yang sewenang-wenangnya meninggalkan solat in adalah hamba Allah yang tidak bersyukur.

Kita bekerja untuk mendapat rezeki. Rezeki itu datangnya dari Allah Taa’la. Rezeki itu Allah yang punya. DIA boleh memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang DIA sukai… yakinlah!

Tapi, sekiranya kita berkira untuk menunaikan kewajipan yang Allah dah tetapkan contohnya solat, maka layakkah kita untuk meminta Allah rezekikan kita dengan itu dan ini?

Bagaimana kita boleh buat fatwa sendiri hendak mengqada’ solat Zohor, Asar dan Maghrib sekaligus?

Bila qada’ solat dibolehkan? Memang sibuk sangatkah keadaan wad kalau kita tinggalkan sekejap untuk solat? Adakah sampai membahayakan nyawa pesakit? Di mana kawan satu syif?

Banyak soalan kita boleh pertikaikan di situ. Mana ‘teamwork’ yang kita asyik perjuangkan selama ini?

Kalau setakat untuk jagakan pesakit di wad sementara ‘nurse in charge’ pergi solat. Saya fikir ianya tak jadi masalah. Kita sahaja yang fikir solat tu masalah semasa kerja.

P/s: Semoga sahabat-sahabat jururawat seperjuangan saya di Malaysia terus istiqamah dengan solat kalian semasa waktu bekerja. Lakukanlah inisiatif menjadikan bilik rehat sebagai tempat solat staff. Jadi, tak perlulah kita berlari-lari untuk solat ke surau utama. Ianya pasti akan menjimatkan masa dan tenaga.

Sekian.

Sesungghunya, saya sayangkan kerjaya dan kawan-kawan nurse yang pernah saya kenali… bersama-samalah berjuang memberi khidmat kepada masyarakat dan berusaha menjalankan amanat sebagai khalifahNya.

Semoga isu SOLAT di kalangan JURURAWAT semasa bekerja yang dibangkitkan ini dapat menjentik iman kalian.

Doakan kami terus kuat!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nor Ashikin Addenan. Berasal dari Kemaman, Terengganu. Merupakan graduan ijazah sarjana muda Nursing di IIUM dan Advanced Diploma in Midwifery di National Medical Center of Malaysia (PPUKM).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.