,

Berani Mencuba – Salman al-Farisi

Dunia hari ini berubah apabila masyarakatnya memiliki sikap berani mencuba.

Misalnya teknologi. Semuanya berkembang hasil daripada cubaan pertama orang yang berani mencuba.

Umpamanya, manusia tidak akan terfikir untuk terbang di udara menaiki kapal terbang hari ini seandainya tiada sosok yang berani mencuba untuk terbang terlebih dahulu. Beliaulah Ibnu Firnas.

Akhirnya, semua ini membaca kepada perkembangan demi perkembangan yang tidak berhenti.

Hanya bermula dengan langkah yang pertama.

Namun, halangannya ialah tidak berani untuk mencuba.

Tidak berani untuk melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh orang lain. Hanya mampu mengikut sahaja.

Sahabat Ajam

Tokoh sahabat yang kita akan bicarakan kali ini ialah Salman al-Farisi.

Dari nama beliau sahaja sudah dapat diketahui bahawa beliau bukanlah berasal daripada kaum Arab.

Al-Farisi merujuk kepada Parsi. 

Suatu bangsa yang telah berjaya membina ketamadunan awal yang hebat setanding dengan ketamadunan Rom. 

Justeru, untuk membezakan antara orang Arab dan bukan Arab, nama ajam dipakai untuk merujuk kepada bangsa ini.

Salman al-Farisi juga merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW yang pertama daripada bangsa Parsi.

Kisah sebelum beliau bertemu dengan nabi sungguh mengujakan. 

Beliau yang pada asalnya dilatih untuk menjadi pendeta agama Majusi atas aturan keluarga telah bertindak melarikan diri kerana mula tertarik dengan ajaran Nasrani.

Sepanjang mempelajari ajaran Nasrani di Syria, beliau telah diberitahu oleh gurunya tentang kemunculan Nabi Muhammad.

Selepas pemergian gurunya itu, beliau terus menuju ke Semenanjung Arab. 

Malangnya beliau telah ditipu dalam perjalanan dan kemudiannya dijual kepada seorang Yahudi di Madinah. 

Maka, ketika itulah beliau akhirnya dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan mendapati kesemua tanda-tanda yang dijelaskan oleh gurunya itu benar-benar merujuk kepada Baginda.

Taktik Peperangan Baharu

Salman al-Farisi kemudiannya dimerdekakan dan memeluk Islam. 

Maka, seluruh hidupnya kini diserahkan untuk berkhidmat kepada nabi dan agama. 

Beliau sinonim dengan salah satu peperangan yang penting dalam sejarah Islam. 

Peperangan Khandaq atau juga dikenali sebagai Peperangan Ahzab.

Dalam peperangan ini, kaum musyrikin Quraisy bersama-sama puak Yahudi Madinah dan kaum-kaum lain bersepakat untuk melancarkan serangan ke atas kota Madinah.

Strategi mereka adalah pasukan pimpinan Quraisy dan kabilah-kabilah yang bersekutu dengannya akan menyerang kota Madinah dari hadapan.

Manakala, puak Yahudi Bani Quraizhah akan menyerang dari belakang. 

Umat Islam Madinah akan dikepung.

Baginda SAW kemudiannya mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat.

Mereka semua bersetuju untuk menghadapi musuh. Namun, caranya masih tidak lagi jelas. 

Ketika itulah Salman al-Farisi tampil mencadangkan.

Melihatkan keadaan bentuk muka bumi Madinah yang sedikit terlindung dengan bukit bukau dan hanya sedikit sahaja yang berpermukaan rata. 

Cadangan untuk menggali parit (khandaq) pun diutarakan.

Suatu yang tidak pernah dilihat dan difikirkan oleh orang-orang Arab ketika itu. 

Ya, cadangan itu adalah sebahagian daripada teknik peperangan yang digunakan di Parsi. 

Setelah puas mendengar penjelasan daripada Salman, akhirnya Rasulullah SAW bersetuju untuk digalikan parit di kawasan kota Madinah yang terdedah itu.

Bersikap Terbuka 

Begitulah kisahnya. Sejarah mencatatkan bahawa akhirnya peperangan ini berjaya dimenangi oleh umat Islam.

Melalui parit yang digali, tentera musuh tidak dapat memasuki kota Madinah dan tertahan di luarnya. 

Tidak lama selepas itu, Allah SWT menghantar ribut pasir sehingga mengucar kacirkan pasukan musuh.

Umat Islam seharusnya bersikap terbuka dan tidak terlalu jumud untuk menerima sesuatu perkara yang baharu demi kebaikan umat. 

Walaupun perkara tersebut tidak pernah dilakukan, tidak bermakna ia tidak berhasil. 

Sikap keterbukaan inilah yang menjadikan agama Islam mudah untuk tersebar ke serata dunia.

Islam bukan hanya untuk orang Arab.

Islam bahkan untuk seluruh umat manusia tidak kira apa jua bangsa sekalipun.

Maka, apa sahaja yang baik untuk agama dan umat Islam, seharusnya dipertimbangkan dengan sebaiknya.

Kuncinya, berani mencuba !

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.

What do you think?

-1 points
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 100.000000%