Dalam dunia pendidikan, sikap ego atau merasakan diri lebih alim dan serba tahu dalam sesuatu perkara sudah menjadi kebiasaan.
Bahkan ia menjadi cabaran yang besar bagi seseorang yang bergelar penuntut ilmu.
Justeru, perasaan ini perlu dibendung agar ia tidak akan memakan diri kelak.
Sebagai contoh, seseorang pelajar tidak mahu mengaku kesilapannya apabila ditegur oleh guru dek kerana kurangnya ilmunya.
Bukannya untuk diambil iktibar daripada teguran itu, bahkan menjadi semakin benci dan tidak menyukai gurunya itu pula.
Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk kita mengatasi masalah ini?
Contohi Ulama
Banyak yang kita boleh teladani daripada sikap dan perilaku ulama silam.
Antara amalan yang mereka lakukan bagi merendahkan ego sebagai penuntut ilmu adalah dengan banyakkan berguru.
Maka tidak hairanlah apabila disebut sahaja nama seorang ulama, kita akan dapati bahawa rupanya tokoh tersebut memiliki ramai guru.
Ibn Kathir, Imam al-Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan sebagainya. Mereka semuanya terkenal dengan ramainya guru mereka.
Apakah kaitannya antara memiliki ramai guru dengan merendahkan ego?
Jawapannya, apabila seseorang itu berguru, dia dapat mencontohi akhlak mahmudah yang ada pada gurunya itu.
Jikalau ramai guru, maka dia berpeluang untuk mencontohi lebih banyak akhlak baik yang dimiliki oleh guru-guru tersebut.
Kesannya, dirinya akan berasa kerdil dan akhirnya tergetuslah di hati, “Para guruku yang alim itu pun tidak bersikap begini, apatah lagi aku yang baru sahaja belajar.”
Kembara Ilmu
Salah satu cara untuk mendapatkan peluang untuk menuntut ilmu dengan ramai guru adalah dengan melakukan kembara ilmu.
Maka tidak hairanlah apabila kita biasa mendengar tentang kehebatan seseorang ulama itu, sudah pasti bermula dengan kembara ilmu yang panjang.
Imam al-Sya’bi pernah ditanya tentang cara beliau menguasai pelbagai ilmu.
Beliau menjawab: “Dengan tidak berpangku tangan, selalu berjalan di muka bumi, selalu bersabar dan selalu bertolak pada awal waktu...”
Sentiasalah ingat, andai terdetik di hati untuk berasa ego atas kepandaian yang dimiliki hari ini, kembalilah ingat bahawa semua itu tidak akan tercapai tanpa insan yang bergelar guru.
Jadilah seorang yang rendah egonya dengan cara banyak gurunya. Agar tidak mudah menghukum sesukanya.