,

Bai’atur Ridhwan Berlaku Kerana Uthman Dibunuh?

Uthman adalah antara sahabat yang dipilih Rasulullah untuk berunding dengan kaum Quraisy supaya kaum Muslimin dapat menunaikan umrah di Makkah.

Namun, ketika Rasulullah mendengar Uthman terbunuh, Baginda mengajak para sahabat untuk bai’ah atau janji setia dalam memerangi kaum musyrikin. Maka, para sahabat menerima seruan Rasulullah dan berjanji setia untuk mati, kecuali Jadd bin Qais kerana sifat munafik yang ada pada dirinya.

Para sahabat berjanji untuk bersabar dan tidak melarikan diri dalam menuntut bela atas kematian Uthman.

Rasulullah bersabda sambil mengisyaratkan tangan Baginda: “Ini tangan Uthman,” kemudian Baginda menepuk tangan Baginda ke tangannya (yang diisyaratkan dengan tangan Uthman). Jumlah sahabat yang berbai’ah seramai 1400 orang.

Dalam Al-Quran ada dinyatakan peristiwa ini, iaitu pujian agung untuk para sahabat dalam Bai’atur Ridhwan:

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah Al-Fath 48:10)

Hadith Jabir bin Abdullah, dia berkata: “Rasulullah bersabda kepada kami ketika perjanjian Hudaibiyah: “Kamu adalah penduduk bumi terbaik.” Jumlah kami ketika itu 1400 orang. Seandainya aku boleh melihat, nescaya aku boleh memperlihatkan tempat pohon itu kepadamu.” (Hadith riwayat Muslim)

Namun, setelah diselidiki, Uthman rupanya tidak meninggal dunia dan tidak dibunuh kaum musyrikin.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)