,

Apa Yang Kau Takutkan Sebenarnya?

Ada seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah di hujung kampung. Guru tersebut terkenal dengan kealimannya dalam bidang ilmu agama.

Beliau amat dihormati oleh masyarakat setempat. Beliau juga merupakan guru kesayangan pelajar-pelajar di sekolahnya. Pihak sekolah telah menobatkan beliau sebagai guru cemerlang sekolah walaupun usianya masih muda.

Suatu hari, guru muda tersebut memanggil empat orang pelajar untuk berjumpa dengannya di bilik guru. Beliau memberikan sepucuk surat kepada setiap pelajar tersebut. Beliau memberitahu mereka semua untuk mengikut arahan yang terkandung di dalam surat masing-masing.

Setiap daripada mereka akan mendapat arahan yang berlainan. Mereka juga dikehendaki merahsiakan tentang isi kandungan surat masing-masing.

Setelah itu, keempat-empat pelajar tersebut keluar dari bilik gurunya untuk menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan.

Setelah seminggu berlalu, guru tersebut membuat pengumuman memanggil semua pelajar di sekolah itu berkumpul di surau sekolah semasa waktu rehat.

Semua pelajar berduyun-duyun turun dari kelas menuju ke surau. Masing-masing hairan mengapa mereka dipanggil berkumpul pada masa tu. Mungkin ada taklimat penting yang nak disampaikan oleh guru muda tersebut.

Mereka masuk ke surau beramai-ramai dan duduk menunggu kedatangan guru mereka. Tidak sampai beberapa minit, guru muda yang dinanti-nantikan melangkah masuk ke surau dengan mengucapkan salam lalu berjalan mengambil tempat di hadapan menghadap para pelajar.

Masing-masing menunggu apa yang hendak disampaikan oleh guru mereka.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi kepada pelajar-pelajar yang saya kasihi sekalian…” salam yang diberikan disambut oleh pelajar-pelajar yang hadir hingga bergema seluruh surau dengan suara mereka.

Guru tersebut memandang satu persatu wajah-wajah pelajar di hadapannya. Ada riak ingin tahu pada raut wajah masing-masing.

“Kamu tahu kenapa saya memanggil kamu berkumpul di surau ini?” Soal guru tersebut bersahaja.

Pelajar-pelajar di hadapannya hanya menngelengkan kepala menandakan mereka tidak tahu akan tujuan mereka dipanggil ke surau.

“Baru-baru ini, saya terdengar ada khabar angin yang mengatakan ada pencemaran unsur babi di dalam makanan yang kamu makan di kantin sehingga ada di kalangan kamu bergaduh sesama sendiri. Betulkah?” Soal guru muda itu lagi.

“Betul, cikgu. Kami terdengar ada ura-ura mengatakan makanan kat kantin kita tu ada pencemaran DNA babi sebab makcik kat kantin tu guna produk makanan yang ada E-code. Dan kami check memang ada cikgu. Jadi, kami tak makanlah makanan kat situ. Lepastu, ada di kalangan kami yang cakap bahan E-code tu takde unsur babi. Sebab tu berlakunya ketidaksefahaman antara kami.” Jawab pelajar yang berada di barisan hadapan. Raut mukanya nampak resah mungkin terkesan dengan apa yang berlaku.

Guru muda tersebut hanya menganggukkan kepala mendengar jawapan pelajarnya, “Jadi, kamu semua percayakan pasal ura-ura tu?” Soal guru muda tersebut.

Berbagai-bagai respon yang diberikan. Ada yang mengangguk kepala mengiakan dan ada yang menggeleng kepala menidakkan pertanyaan guru mereka. Dan ada jugak yang tidak memberi respon hanya menunggu jawapan sebenar.

“Baiklah, biar saya jelaskan apa sebenarnya berlaku. Sebenarnya apa yang berlaku semua ni merupakan perancangan saya. Sebelum ini, saya ada memanggil beberapa orang sahabat kamu untuk membantu saya. Saya arahkan mereka untuk jalankan tugas seperti apa yang saya tetapkan. Perkara ini saya minta mereka rahsiakan daripada kamu semua sebelum tibanya hari yang sesuai. Mereka semua hanya menurut arahan saya. Jadi, jangan marah mereka, ya!”

“Jadi, saya nak minta semua pelajar yang saya maksudkan tadi berdiri dan bagitahu peranan masing-masing kepada sahabat-sahabat kamu ni.” Arah guru tersebut kepada pelajar-pelajar tersebut.

Pelajar-pelajar memandang antara satu sama lain mencari-cari siapakah pelajar yang dimaksudkan oleh guru mereka. Tidak lama kemudian, muncul empat orang pelajar berdiri di tempat masing-masing dan di tangan mereka masing-masing terdapat sepucuk surat yang berlainan warna.

“Sila jelaskan tugas kamu semua kepada kawan-kawan kamu ni.” Arah guru tersebut sekali lagi kepada mereka berempat.

Seorang pelajar yang berdiri di barisan hadapan memulakannya dahulu, “Saya diberi tugas untuk menyebarkan infomasi berkenaan senarai E-code yang dikatakan mempunyai unsur babi. Dan juga saya ditugaskan menyebar khabar angin yang mengatakan makanan kat kantin kita ada pencemaran unsur babi.”

Pelajar seterusnya yang berdiri berdekatan dengan tingkap surau pula menjelaskan tugasnya, “Saya pula ditugaskan untuk sebarkan dan mempelbagaikan cerita tentang khabar angin tersebut.” Pelajar yang duduk di tengah surau pula menerangkan tugasnya,

“Dalam surat yang saya dapat pula mengandungi arahan untuk memaklumkan hal yang sebenar kepada rakan-rakan semua. Saya juga dikehendaki menampal infomasi sahih berkenaan dengan E-code di ruangan info.” Pelajar tersebut menunjukkan kertas yang mengandungi kebenaran berkenaan senarai E-code yang diberikan oleh gurunya.

Pelajar yang terakhir yang terlibat pula mengambil alih menyatakan tugasannya, “Saya pula dikehendaki untuk melaporkan kepada cikgu tentang perkembangan kamu semua tanpa ada campur tangan dalam hal ini.” Ujar pelajar tersebut mengakhiri penjelasan tugasan-tugasan yang diberikan kepada mereka semua.

Bunyi suara pelajar memenuhi ruangan surau tersebut. Sedikit kekecohan berlaku dalam kalangan pelajar. Guru mereka yang berada di hadapan hanya tersenyum melihat gelagat pelajar-pelajarnya yang nampak keliru dengan apa yang berlaku.

Beliau memberi isyarat tangan kepada pelajar yang masih berdiri itu untuk duduk di tempat masing-masing. Beliau membiarkan keadaan pelajar-pelajarnya menjadi sedikit tenang sebelum beliau menjelaskan lagi tentang perancangannya.

BERSAMBUNG….

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Laura Nour. Sebarang pertanyaan hubungi [email protected]

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%