,

Kekurangan Diri Bukan Alasan Untuk Tidak Merebut Cinta Ilahi

Dia seorang remaja lelaki yang sering aku lihat kelibatnya di setiap majlis-majlis ilmu yang diadakan. Aku kira umurnya dalam lingkungan antara 16 ke 18 tahun.

Fizikalnya mungkin saja dilihat seperti seorang remaja normal, namun perwatakan dan sikapnya sahaja yang sedikit berbeza. Seperti kebudak-budakan. Tuturnya juga tidak sepetah remaja seusianya.

Aku gelarkan dia sebagai Fahmi (kerana wajahnya mirip sepupuku di kampung). Fahmi menurut jemaah masjid di sini adalah seorang remaja autisme.

Mereka menggelarnya anak istimewa. Dia tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan yang seusia dengannya, kehidupannya banyak dihabiskan di masjid. Sejak kematian ibu dan ayahnya, dia dibesarkan oleh ibu saudaranya.

Apa yang menarik perhatianku terhadap Fahmi adalah kesungguhannya dalam menunaikan solat berjemaah di masjid.

Setiap kali waktu solat, dia pasti berada di saf yang paling hadapan. Dia akan sedaya upaya untuk solat betul-betul di saf belakang imam.

Jarang sekali aku melihat Fahmi di saf yang kedua apatah lagi di saf yang paling akhir, melainkan ada urusan lain yang mendesaknya untuk tidak dapat hadir berjemaah di masjid.

Suatu hari…

“Pak cik, saya nak tanya, ada seorang budak lelaki yang selalu solat dekat saf paling depan. Saya dah lama tak nampak dia. Pak cik ada tahu apa-apa pasal dia?”

“Oh, maksud kamu Hassan. Budak istimewa tu. Tak silap pak cik, dia accident. Teruk juga sampai kaki kanan dia patah. Kenapa ya kamu tanya pak cik.”

“Oh, tak ada apa-apa pak cik”.

********

(Dan akhirnya, watak ‘Fahmi’ terpaksa aku gugurkan dan digantikan dengan nama sebenar remaja tersebut, Hassan. Mungkin kerana sebelum ini, jemaah masjid sekadar menggelarnya anak istimewa…. Kalau aku tidak bertanya, sampai kesudah nama “Fahmi” itu digunakan)

Setelah hampir 3 minggu kelibat Hassan tidak kelihatan di masjid, sehinggalah selesai solat Isyak tadi.

Hassan solat betul-betul bersebelahan denganku. Bezanya kali ini, dia solat duduk di atas kerusi. Dengan kondisi kaki kanannya yang berbalut dan pergerakannya yang sedikit terbatas, Hassan terpaksa akur untuk sekadar solat di saf yang kedua.

Jelas terpancar raut kekecewaan pada wajahnya yang putih kemerahan itu….

Sehinggalah setelah selesai solat, aku nekad untuk merapati remaja istimewa tersebut. Hassan seorang yang sangat pemalu. Dia juga tidak banyak bercakap apatah lagi dengan orang yang asing baginya.

“Assalamualaikum, nama kamu Hassan kan?” Aku memulakan bicara.

Remaja tersebut sekadar mengangguk pertanyaanku. Dia melirikkan matanya ke atas dan ke bawah, tidak tertumpu pandangannya terhadapku.

“Macam mana kaki, ok tak?”

“Kaki dah ok. Dah boleh solat.” Dia membalas pertanyaanku. Dengan nada dan lenggok suara yang tidak seperti kebiasaan remaja seusianya tuturkan.

“Abang doakan semoga Hassan cepat sembuh tau. Nanti boleh solat dekat saf depan lagi.”

“Terima kasih abang. Hassan tak sabar nak solat dekat saf paling depan.”

Pertemuan singkat hari ini cukup bererti. Meski ianya sekadar perbualan ringkas yang mungkin tidak sampai 5 minit durasinya, namun ia sudah terlalu cukup buatku. Walaupun hanyalah sekadar bertanya khabar.

Hassan sang remaja istimewa. Kehadirannya bukti bahawa kesempurnaan diri bukanlah syarat untuk meraih cinta Allah.

Kesempurnaan diri juga bahkan tidak pernah menjadi syarat untuk mengecapi keindahan dan kesenangan buat hati.

Mungkin sahaja bagi Hassan, perkara yang terindah buatnya adalah apabila berjaya merebut saf yang paling hadapan dalam setiap solat jemaah yang dikerjakan di masjid.

Dengan itu, membuatkan hatinya jauh lebih tenang seperti tenangnya melihat wajah remaja autisme itu.

Dan dalam kesulitan yang dia hadapi lantaran ‘istimewa’-nya dirinya, dia seolah tidak pernah menjadikan ia sebagai suatu alasan untuk tidak melaksanakan tuntutan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Bahkan, kewajipan solatnya dilakukan secara berjemaah di masjid.

Ternyata, kekurangan diri bukanlah alasan untuk kita bermalas-malasan dalam kehidupan. Seperti kisah kesungguhan adik Hassan, yang tidak pernah sekalipun menjadikan kekurangan diri sebagai suatu sebab untuknya tidak turut sama merebut cinta dan redha dari Illahi.

Bahkan usahanya ke arah itu mungkin saja menjangkaui usaha kita yang masih dikurniakan dengan kekuatan dan kesihatan diri.

Semoga Allah mempermudahkan urusan adik Hassan dalam hidupnya. Dan semoga kita juga turut sama beroleh semangat dan kesungguhan persis adik Hassan.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?(Surah Ar-Rahman)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Merupakan pelajar Biomedik di UIAM, Kuantan. Ikuti perkembangan beliau di Instagram: muhd.sob_zahar dan juga blog kolaborasi bersama rakan iaitu leinspirationmy.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 80.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 20.000000%