,

Allah Tempatku Memohon

Saat aku sedih…

Saat aku kecewa…

Saat aku jatuh…

Pernahkah terfikir siapakah yang selalu ada di sisi kita? Adakah ibu bapa kita? Adakah adik-beradik kita? Adakah sahabat-sahabat kita?

Kita mungkin sahaja mencari sesiapa sahaja yang rapat dengan kita apabila kita menghadapi kesusahan dan kesedihan.

Kita merasakan mereka dapat menolong kita. Namun begitu, pernahkah terdetik di hati kita, adakah mereka yang kita cari itu dapat memberikan pertolongan kepada kita?

Tepuklah dada kita, tanyalah iman.

Kita sebenarnya silap! Kita silap apabila merasakan manusialah pembantu kita. Kita lupa DIA selalu ada di sisi kita.

Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala-galanya yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah, aku mengadukan kesusahan dan kesedihan, malah aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Yusuf: ayat 86)

Ingatlah! Pengaduan yang terpuji adalah dengan mengadu kepada Allah SWT.

Tadahlah tangan kita memohon kepada-Nya dengan air mata taubat yang mengalir.

Dia Maha Mendengar segala masalah hamba-Nya yang lemah mengadukan kesusahan hanya pada-Nya. DIA hanya mahu hamba-Nya memohon kepada-Nya.

Ingatlah firman-Nya yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al- Baqarah 2:186)

Sesungguhnya, Allah SWT selalu ada dan sentiasa ada di sisi kita.

Marilah kita sentiasa muhasabah diri kita agar sentiasa mendahulukan Allah SWT dalam setiap perbuatan kita agar kehidupan lebih dirahmati-Nya. Jom!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.