,

Allah Punya Pelbagai Cara Untuk Menarik Kita Kembali Pada Dia

“If you still have heart, then you can still write.” -quotes-

Agak lama rasanya jari ini tidak mencoretkan apa-apa. Mungkin kerana ketandusan idea, mungkin kerana sudah tiada rasa atau diri benar-benar sudah tidak tahu untuk menuliskan sesuatu. Futur.

Mungkin itu yang dirasakan sepanjang mendiamkan diri untuk masa yang lama ini.

La ta isu min rahmatillah
“Janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah.”

Dalam hidup ini ada masanya kita memang akan buntu untuk berbuat sesuatu.

Kita hilang arah. Kita tidak tahu untuk melangkah bagaimana. Kita lupa caranya untuk memulakan sesuatu.

Dan pada waktu ini, kita mula rasa bahawa kita telah jauh dari Allah. Kita mula rasa Allah sudah benci dan melupakan kita dan Dia sudah tidak peduli tentang kita.

Kerana Dia sanggup membiarkan kita sesat sendiri dalam kegelapan yang melenyapkan semua ketenangan yang pernah kita rasa.

Dan kita pula dengan egonya. Terus menjarakkan diri dengan Tuhan. Tanda protes.

“Sesungguhnya TuhanMu tidaklah meninggalkanmu dan tidak pula membenci kamu” (Surah Ad-Dhuha:3)

Sedangkan kita tidak tahu apa yang sedang Allah rencanakan. Kita lupa bahawa Allah tidak pernah silap.

Allah tidak pernah melakukan sesuatu melainkan dengan bersebab.

Teman, ingatlah Allah punya banyak cara untuk menarik kita kembali pada Dia. Ya, setiap apa yang berlaku semuanya diatur oleh Allah.

Untuk apa?

Untuk memimpin kita ke jalannya yang lurus. Untuk menyedarkan kita dari kealpaan yang membuatkan kita buta.

Untuk menguatkan kembali api semangat kita yang sudah malap supaya kembali berkobar dalam memperjuangkan agama Allah ini.

Maka pelbagai ujian, kesusahan dan musibah diberi. Supaya kita tidak terus terlena dalam ketenangan dunia yang sebenarnya memperdaya.

Persis sang pelayar, yang hampir lena dalam tenangnya lautan. Lalu Allah badaikan ombak besar menyedarkan dia dari kelalaian yang membuatkan kapalnya hampir musnah dan karam.

Sebenarnya, musibah ini adalah untuk mengingatkan kita kembali pada Illahi.

Sakit ini adalah untuk meruntuhkan ego agar kita mahu kembali menadah tangan memohon bantuan dari Rabbi.

Luka ini adalah untuk menyedarkan kita bahawa yang takkan pernah menyakiti hanya Dia yang satu.

Sunyi ini adalah bukti bahawa tiada yang akan kekal di sisi melainkan Rabbul Alamin.

Dia yang selalu setia ada untuk kita. Yang selalu dekat dengan kita. Yang sentiasa sudi mendengar rintihan hambanya.

Yang sentiasa akan membalut segala luka dan rabaknya kita. Cuma Allah.

Maka jangan putus asa dengan sedikit ujian yang melanda kerana ujian itu adalah hadiah mengikut bahasa TuhanMu.

Sabarlah hadapi apa pun. Kerana jauh lebih baik ujian yang mendekatkan kita pada Tuhan daripada kenikmatan yang membuatkan kita terus lalai.

Ingatlah kadangkala Allah menjatuhkan kita ke bawah hanya untuk melonjakkan kita ke tempat yang lebih tinggi.

Dan kadang, Allah memberikan kita ujian yang begitu berat kerana itu sahaja cara yang mampu membuat kita berpatah semula. Kembali pada Dia.

Dan mungkin saja itulah sebenarnya apa yang kita cari, iaitu ketenangan yang hakiki.

Ya muqallibal qulub, stabit qolbi ala dinik. Waa’la tho atiq

“Ya Allah yang membolak balikkan hati kami, tetapkanlah hati kami dalam agamaMu (Islam) dan dalam ketaatan kepadaMu.”

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%