, ,

Ali bin Abi Talib–Dikelilingi Pengikut yang Tidak Jujur

Pemilihan berdasarkan kepada kutipan suara sememangnya sukar. 

Boleh jadi calon yang benar-benar berkelayakan tidak terpilih disebabkan oleh pengikutnya tidak ramai.

Manakala boleh jadi juga calon yang sebaliknya akan terpilih disebabkan oleh faktor pengikutnya yang ramai itu.

Ia juga dapat dilihat dengan jelas sekali dalam dunia media sosial hari ini.

Keilmuan dan kredibiliti seseorang kini sudah menjadi nombor dua di alam maya hari ini. 

Hal ini disebabkan oleh peraturan alam maya menetapkan, siapa yang memiliki pengikut yang ramai, dialah yang akan diangkat.

Maka, tidak hairanlah apabila kita lihat kemunculan pelbagai istilah bagi meraikan golongan ini seperti ‘insta famous’, ‘youtuber’ dan ‘tick toker’. 

Senang cerita, ia semua bermain dengan bilangan. Siapa banyak dia diangkat.

Saidina Ali dan Politik

Siapa yang tidak kenal dengan sosok tubuh yang mendapat gelaran ‘Karamallahu wajhah’ itu.

Beliaulah sepupu dan juga menantu Baginda Rasulullah SAW Ali bin Abi Talib. 

Kita tidak akan menceritakan kisah-kisah masa muda beliau kerana semua sudah maklum. 

Namun, kita akan cuba singkap kisah penglibatan beliau dalam dunia politik.

Walaupun mekanisma politik ketika itu tidaklah seperti sekarang, setidak-tidaknya kita akan dapat mempelajari sesuatu daripadanya.

Hari ini kita lihat bahawa ramai yang berminat untuk menjadi pemimpin. 

Hal ini disuburkan lagi dengan amalan demokrasi yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia. 

Bila sebut tentang demokrasi, ia pasti melibatkan pungutan suara.

Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah selepas Umar bin al-Khattab mengusulkan namanya. 

Lalu diikuti oleh umat Islam yang lain. Manakala, Umar pula dilantik sebagaimana wasiat Khalifah Abu Bakar. 

Manakala, Uthman bin Affan pula dipilih dalam kalangan ahli syura yang telah dilantik oleh Khalifah Umar. 

Namun, dalam pemilihan Khalifah Ali bin Abi Talib, caranya sudah berbeza. Melalui pungutan suara majoriti!

Terpaksa Menerima

Mengapa boleh jadi begitu? Ya, tidak dapat kita nafikan bahawa kesyahidan Khalifah Uthman bin Affan menjadi permulaan kepada zaman fitnah

Mengapa pula fitnah? Semuanya bermula dengan tindakan protes segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan polisi pentadbiran Khalifah Uthman. 

Mereka ini menuntut hak mereka dan dalam masa yang sama sudah mengumpulkan pengikut yang ramai untuk menghadap khalifah.

Akhirnya, kota Madinah diserbu pemberontak sehingga berakhir dengan tragedi yang menyayat hati. 

Seorang khalifah telah dibunuh! Umat Islam di kota Madinah ketika itu pula tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan oleh tekanan yang diberikan oleh golongan pemberontak itu.

Jadi, dapatlah kita fahami bahawa mereke memiliki majoriti untuk menentukan siapakah yang bakal dilantik sebagai khalifah.

Akhirnya dalam keadaan yang huru-hara itu, Ali bin Abi Talib dipilih untuk menjadi khalifah bukan secara sukarela dan syura tetapi secara paksa rela. 

Walaubagaimanapun pelantikan tersebut dibuat atas desakan para pemberontak yang menguasai kota Madinah ketika itu. 

Para sahabat lain yang ada ketika itu lalu menerima pelantikan tersebut kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

Ibn al-Athir dalam kitabnya Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al Sahabah menyatakan bahawa Ali bin Abu Talib dibaiah sebagai khalifah di kota Madinah di Masjid Nabawi selepas terbunuhnya Uthman pada bulan Zulhijjah tahun 35H.

Sukar Memutuskan Hukuman

Disebabkan oleh kesan daripada pembunuhan Khalifah Uthman dan juga kota Madina.

Ketika itu dikuasai oleh pemberontak, maka Khalifah Ali mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pemerintahannya. 

Kini pusat pemerintahan khalifah berada di kota Kufah.

Namun, perpindahan tersebut pula memberikan kesan yang negatif pula kepada khalifah sendiri.

Walaupun, beliau pindah jauh daripada kota Madinah yang huru hara itu, beliau masih lagi didamping oleh pengikut yang tidak setia. 

Mereka ialah golongan pemberontak itu juga. Setelah Ali dilantik sebagai khalifah, golongan pemberontak ini berpihak pula kepadanya. 

Mereka juga menjadi sebahagian besar daripada penyokong dan tentera khalifah.

Ibarat keluar dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya pula.

 Dalam masa yang sama juga Khalifah Ali mendapat desakan yang kuat daripada para sahabat yang berada di Madinah. 

Mereka menuntut khalifah menghukum sesiapa yang terlibat dengan pembunuhan Khalifah Uthman.

Namun, beliau tidak mampu menunaikannya disebabkan oleh kesukaran untuk menentukan siapa di pihak yang benar dan siapa di pihak yang salah dalam keadaan pengikutnya sendiri juga terdiri daripada para pemberontak itu.

Rujukan:

Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.