,

Al-Syifa’ Binti Abdullah: Wanita Yang Mahir Merukyah

Beliau merupakan sahabat wanita yang mulia dalam kalangan wanita pada zaman Rasulullah SAW.

Hal ini disebabkan oleh beberapa kelebihan yang dimilikinya dalam,

Penulisan, pengubatan dan juga mampu merukyah dalam kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.

Ketika itu, sangat sedikit wanita-wanita Arab yang mampu membawa dan menulis.

Beliau ialah al-Syifa binti Abdullah al-Qurasyiyah al-‘Adawiyah.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa nama sebenar beliau ialah Laila dan al-Syifa’ itu pula merupakan gelarannya.

Manakala ibunya bernama Fatimah binti Abi Wahab.

Dari segi keturunannya, dapat diketahui bahawa beliau berasal daripada keluarga Quraisy yang dihormati dari Bani ‘Adi.

Memanfaatkan Kelebihan

Al-Syifa’ sangat suka menulis dan telah menguasainya pada zaman Jahiliyah.

Tatkala beliau memilih untuk memeluk Islam, beliau tidak mahu kelebihan yang dimilikinya itu menjadi sia-sia dan tidak berguna.

Beliau bahkan telah mengajarkan pula para sahabat wanita untuk menulis.

Antara sahabat wanita yang diajar oleh beliau ialah Ummul Mukminin Sayidatina Hafsah binti Umar, Aisyah binti Sa’ad dan juga beberapa orang yang lain.

Beliau telah berkahwin dengan Abu Hathmah bin Huzaifah bin Ghanim al-Qurasyi al-‘Adawi.

Hasil perkahwinan tersebut, beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata bernama Sulaiman.

Maka, dari situ, beliau juga turut dikenali sebagai Umm Sulaiman sebagai kunyahnya.

Turut tergolong dalam kalangan sahabat yang memeluk Islam sebelum hijrah.

Al-Syifa’ juga merupakan antara wanita yang terawal berhijrah ke kota Madinah.

Di sana, Rasulullah SAW telah memberikan sebuah rumah untuknya tinggal bersama anak lelakinya Sulaiman di sana.

Lalu, mereka berdua tinggallah di rumah tersebut malah sudah menjadi satu kemuliaan apabila menerima pemberian daripada Baginda SAW.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan di dalam kitabnya, al-Ishabah fi Tamyiz al-Sahabah:

Sesungguhnya Rasulullah SAW singgah ke rumah tersebut dan berqailulah.

Baginda tidur di atas satu katil di situ.

Katil tersebut tetap ada dirumah al-Syifa’ sehinggalah katil tersebut diambil oleh Marwan bin al-Hakam.

Mahir Merukyah

Rukyah dalam bahasa Melayu disebut sebagai jampi.

Namun, hari ini istilah rukyah digunakan bagi merujuk kepada teknik rawatan Islam bagi membezakan jampi yang menggunakan perantaraan jin.

Tokoh sahabat yang kita sedang bicarakan ini juga sebenarnya memiliki kemahiran merukyah.

Selain daripada memiliki kemahiran menulis, al-Syifa’ juga turut memiliki kemahiran untuk merubat menggunakan kaedah rukyah pada zaman Jahiliyah.

Namun, apabila beliau telah memeluk Islam dan berhijrah ke kota Madinah, beliau telah memaklumkan kepada Rasulullah SAW tentang kebolehannya itu.

Katanya:

Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya sebelum ini ketika Jahiliyah mampu mengubat dengan cara merukyah.

Lalu, saya ingin menunjukkannya kepada tuan.

Baginda menjawab: 

Silakan.

Al-Syifa’ berkata lagi:

Lalu saya tunjukkan kepada Baginda.

Ketika itu beliau merukyah seorang pesakit yang mengalami al-Namlah.

Ia merupakan sejenis penyakit kulit yang mirip dengan Eczema hari ini.

Lalu, setelah itu, Rasulullah SAW berkata kepadanya:

Ajarkanlah pula cara merukyah itu kepada Hafsah.

Menurut satu riwayat yang lain. Baginda SAW berkata kepada al-Syifa’:

Tidakkah kamu mahu untuk mengajarkannya pula kepada Hafsah sebagaimana kamu mengajarkannya menulis?

Al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, menyatakan secara terperinci mengenai teknik rawatan yang digunakan oleh al-Syifa’ bagi merawat penyakit al-Namlah itu.

Beliau mengatakan, al-Syifa’ binti Abdullah membaca:

بِسْمِ اللهِ صَلُّوْبُ حِيْنَ يَعُوْدُ مِنْ أَفْوَاهِهَا وَلَا تَضَرُّ أَحَدًا، اللَّهُمَّ اكْشِفِ الْبّأْسَ رَبِّ النَّاسِ.

 Al-Syifa’ membacakan doa tersebut pada batang za’faran sebanyak tujuh kali.

Kemudian beliau mencari satu kawasan yang bersih lalu menggosok batang tersebut pada batu sehingga terkeluar serbuknya.

Setelah itu. Beliau menyapukan serbuk tersebut pada kawasan yang dijangkiti penyakit al-Namlah itu.

Setelah mendapat keizinan daripada Rasulullah, barulah beliau mengajarkan cara merukyah tersebut kepada sahabat-sahabat wanita yang lain.

Dihormati Khalifah

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, para khalifah selepas Baginda tidak lupa untuk memuliakan dan menghormati wanita ini sebagaimana Baginda memuliakannya.

Ketika Khalifah Umar bin al-Khattab memerintah, beliau turut menjemput al-Syifa’ untuk memberikan pandangannya.

Suatu hari, Umar bin al-Khattab tidak melihat kelibat Sulaiman, anak lelaki al-Syifa’ ketika solat subuh.

Lalu, beliau kemudiannya mengunjungi al-Syifa’ dan bertanyakan tentang anak lelakinya itu:

Saya tidak melihat Sulaiman ketika solat subuh tadi.

Lalu jawab al-Syifa:

Sesungguhnya dia mendirikan solat malam sehingga akhirnya dia tertidur dan tidak dapat berjemaah.

Lalu Umar pun memberikan nasihat untuk disampaikan kepada Sulaiman:

Sesungguhnya saya bersaksi bahawa solat subuh berjemaah itu adalah lebih lebih saya sukai berbanding saya bangun mendirikan solat malam.

Ibn al-Athir menyatakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Syifa’ binti Abdullah.

Hadis tersebut bermaksud,

Daripada al-Syifa’ binti Abdullah, beliau merupakan seorang wanita dalam kalangan muhajirin, beliau berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW telah ditanya mengenai amalan yang terbaik untuk dilakukan.

Lalu jawab Baginda:

Beriman kepada Allah, jihad di jalan-Nya dan haji mabrur.

Akhirnya, sahabat yang merupakan seorang guru dan perawat ini meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.

Lebih tepat beliau meninggal dunia pada tahun ke-20H setelah menabur khidmat bakti kepada umat dengan merawat dan mengajar wanita-wanita Islam ketika itu.

 

Rujukan:Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.