, ,

Aku Menagih Cinta Lelaki Lain di Hadapan KekasihKu! (bahagian 2-akhir)

Perlahan-lahan, aku mulai tersedar. Ya Allah, betapa aku sedang membuka diriku daripada didatangi fitnah jika berterusan melayani perasaan ini.

Bagaimana? Pernah aku beberapa kali berpesanan ringkas dengan lelaki yangku sebut namanya dalam titipan doa, atas perkara yang penting yang perlu diselesaikan.

Namun, niatku mencari jawapan telah dicemari dengan niat yang lain tanpa sengaja. Lantas diri ini berhenti. Sejujurnya, diri tidaklah bercakap dengan lelaki kecuali atas perkara penting sahaja.

Pernahku mempunyai buah fikiran untuk meluahkan perasaan terhadap dirinya. Pasti anda semua pernah terdengar atau berkata,

“Jika bukan sekarang, takut-takut dia akan menjadi milik sesiapa sahaja.”

Dahsyatnya hasutan syaitan, namun aku masih berpegang kepada prinsipku, dan ingat akan pesan untuk memelihara maruahku kerana,

“Wanita ini diibaratkan seperti sebuah bekas…”

Jika telah digunakan mahupun pernah dimiliki bekas itu oleh orang lain, tiada apa yang dapat membersihkannya seperti asal. Dan paling aku khuatir jika aku perpacaran, dosa.

Jika aku menikahi lelaki yang aku gelarnya sebagai teman lelaki, Alhamdulilah, hubungan kami berbaloi. Segala naik turun dalam hidupku, aku telah berjaya melaluinya bersama-sama.

Namun, namun berbaloikah jika aku telah melakukan dosa… dosa berpacaran… dan aku telah menduakan dan mengetepikan hak ibu bapaku dan yang paling utama sekali, hak Allah untuk mendapatkan cinta dan perhatian kasihku.

Waima aku sekadar menyimpan perasaanku terhadap lelaki yangku dambakan cintanya sekalipun, ia tetap akan menjadi sebuah hasutan dan mainan syaitan tanpa aku sedari.

Teruk sungguh perasaan apabila terjebak di dalam kancah fitnah, Ya Allah. MasyaAllah, kini baru ku mengerti apa yang dimaksudkan dengan wanita dan fitnah akhir zaman.

Dari sekecil-kecil perasaan mampu membenihkan perbuatan yang membawa kepada kemaksiatan yang lebih besar.

Bercinta merupakan fitrah manusia. Namun, kegetiran dalam melalui proses itu MasyaAllah, dasyat sungguh Ya Allah.

Sehinggakan kita sebagai manusia mampu atau telah menduakan kasih Allah terhadap diri ini. Biarpun berdoa dan menyelitkan namanya di dalam doa sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan jodoh yang diharapkan.

Namun, dirasakan seperti terbit perasaan yang tidak kena dan pelik. Ya Allah, sesungguhnya hina diri ini, menagih kasih lelaki lain kepada diri-Mu.

Cintaku seharusnya hanya untukMu sahaja Ya Rabbi. Ya Allah, sulitnya dan rumitnya simpulan perasaan seorang manusia ketika meletakkannya pada manusia ciptaanMu, Ya Allah.

Sesungguhnya, jauhkanlah diri kami yang hina dina ini daripada sekecil-kecil maksiat dan fitnah, Ya Allah.

Kepada diri Mu jua jualah kami berlindung dari fitnah dan kemaksiatan dunia yang fana ini.

“Wahai wanita akhir zaman dambaan syurga sekalian, tatkala hati kecil meronta-ronta untuk dilepaskan dari jagaan syariat, jangan mengizinkan walau sedetik pun. Andai ianya terlepas, kejarlah ia balik dan dakaplah ia supaya hati kecil itu sentiasa taat dan patuh kepada Allah dan taat kepada kedua orang tua. Sesungguhnya wanita yang menjaga kemaluannya dan menahan dirinya akan mendapat ganjaran Allah yang besar.”

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Hanis Syahirah.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%