, ,

Kisah Nabi Ayub A.S. dan Doanya

Dalam salasilah, Nabi Ayub merupakan keturunan Nabi Ishak.  

Sebagai manusia pilihan, Nabi Ayub dikenali sebagai seorang yang mempunyai kesabaran yang luar biasa.

Dalam kisahnya, Nabi Ayub dikatakan mempunyai kehidupan yang seakan-akan sempurna kerana beliau dikurniakan harta yang melimpah-ruah, keturunan yang baik dan akhlak yang mulia

Namun, Allah menguji keimanan Nabi Ayub dengan pelbagai cubaan yang berat

Semua yang dimiliki Nabi Ayub semakin menghilang bahkan dia menghidap penyakit kulit yang parah.

Meskipun begitu, Nabi Ayub tetap menunjukkan kesabarannya

Ia terus berdoa dan meminta daripada Allah untuk diberikan kesembuhan seperti yang disebut di dalam Al-Quran:

۞وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّي مَسَّنِيَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ  ٨٣

83.  dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang".

Kisah Nabi Ayub telah dijelaskan di dalam Al-Quran. 

Jika kita mengamatinya, banyak ibrah dari kisah Nabi Ayub A.S. Allah SWT telah menyebutkan bahawa Nabi Ayub A.S. adalah hambaNya yang sabar dan penyayang. 

Bukan hanya dari kalangan manusia, dalam satu riwayat disebut malaikat pun turut memuji kesolehan Nabi Ayub A.S. 

Mendengar segala pujian tersebut, iblis pun berasa cemburu kepada Nabi Ayub

Iblis terus menyangkal dengan mengatakan bahawa Nabi Ayub A.S. taat kepada Allah hanya kerana Allah memberinya nikmat yang banyak.

Seakan membuktikan mukjizat dan keutamaan Nabi Ayub, Allah pun memberikan ujian dengan menghilangkan semua nikmatNya.

Allah juga mengizinkan iblis untuk menghasut Nabi Ayub. Nabi Ayub A.S. yang pada mulanya memiliki kekayaan hidup yang melimpah, tiba-tiba jatuh miskin.

Satu persatu nikmatnya ditarik. Anak Nabi Ayub meninggal dunia.

Setelah itu, tubuh Nabi Ayub yang sihat ditimpa penyakit bahkan yang lebih menyedihkan, penyakit tersebut tampak seperti penyakit kulit yang menjijikkan  dan belum ada ubatnya. 

Orang-orang yang mengagumi Nabi Ayub satu persatu meninggalkannya. Hanya ada seorang isteri dan dua orang sahabat yang menjaga dan merawat Nabi Ayub.

Nabi Ayub ditimpa ujian selama 18 tahun

Sebagaimana dijelaskan dalam hadis: 

“sesungguhnya Nabi Allah, Ayub AS berada dalam ujian selama lapan belas tahun. Baik keluarga dekat mahupun keluarga menolaknya kecuali dua saudara lelaki dari saudara-saudaranya. Kedua saudara itulah yang selalu memberinya makan dan menemuinya.” 

Meskipun mendapat ujian yang berat, semua itu tidak mengubah keimanan Nabi Ayub A.S. kepada Allah.

Beliau terus berdoa meminta kesembuhan sebagaimana yang disebut di dalam QS Al-Anbiya’ ayat 83 di atas. 

Maka, Allah pun mengabulkan doa Nabi Ayub lalu Allah menyembuhkan penyakitnya.

Allah mengabulkan doanya dengan memerintahkan Nabi Ayub menghentakkan kakinya ke tanah lalu muncullah air di bawah kakinya.

Nabi Ayub menggunakan air itu untuk minum dan mandi sebagaimana di dalam QS Al-Shad ayat 42.

ٱرۡكُضۡ بِرِجۡلِكَۖ هَٰذَا مُغۡتَسَلُۢ بَارِدٞ وَشَرَابٞ  ٤٢

42.  (Allah berfirman): "Hantamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum"

Atas kuasa Allah SWT, Nabi Ayub kembali sembuh seperti sediakala. Badannya yang sakit dan tua berubah menjadi sihat.

Antara ibrah dari kisah Nabi Ayub A.S. adalah kita perlu mencontohi Nabi Ayub dalam kesabarannya menempuh ujian Allah. .

Kedua, Allah Maha Berkuasa atas Segala Sesuatu. Allah boleh memberi dan menarik nikmat yang diberikan pada bila–bila masa sahaja. 

Ketiga, berdoalah kepada Allah untuk memohon kesembuhan penyakit. 

Keempat, selalu ada penyelesaian bagi orang yang bersabar seperti Nabi Ayub yang akhirnya penyakitnya disembuhkan Allah

Rujukan:

Al-Qur'anul Karim, Al-Anbiya': 83

Al-Qur'anul Karim, Al-Shad: 42

Tafakkur Fiddin, Kisah Nabi Ayub , kesabarannya hadapi penyakit dan musibah

Ustaz Wadi Annuar Official, Iktibar: Kisah Nabi Ayub A.S. Yang Diuji